Ruhanie Ahmad

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyambut baik hasrat kerajaan hendak menubuhkan Majlis Tenusu di negara ini bagi mengembangkan industri itu secara holistik.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Ruhanie Ahmad, dengan penubuhan itu, negara berupaya mengurangkan kebergantungan kepada produk tenusu asing dan monopoli syarikat multinasional dari luar negara ke atas pasaran tenusu tempatan yang bernilai jutaan ringgit setahun.

Beliau turut menggesa usahawan dan penternak Bumiputera diberi peluang menyertainya tanpa ada sikap pilih bulu serta dijalankan secara profesional.

“Bagaimanapun, untuk menjadi sebuah organisasi yang holistik dan bersepadu, ia memerlukan perancangan rapi dari segi misi dan visinya, mahupun dari sudut rancangan perniagaan, kajian untung ruginya, pendekatan dan pengurusan kewangan serta pengurusan perniagaan.

“Lebih penting lagi, Lembaga Tenusu Negara yang akan diwujudkan ini mesti mempunyai prosedur urus tadbir, kebertanggungjawaban dan integriti yang jelas serta tegas, merangkumi prinsip ketelusan, anti-rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan kronisme,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bercadang menubuhkan Lembaga Tenusu Negara awal tahun depan sebagai organisasi merancang dan memacu pembangunan industri tenusu negara secara holistik dan bersepadu.

Bercakap di Rompin, Pahang, Najib dilaporkan berkata, Lembaga Tenusu Negara itu akan diketuai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang antara lain turut berperanan dalam menggalakkan rakyat mengamal minum susu segar.

Menurut Ruhanie, hasrat dan cadangan itu sangat baik sekiranya kerajaan memastikan penyertaan usahawan Bumiputera secara aktif dalam aktiviti perniagaan tenusu menerusi insentif modal dan khidmat nasihat yang berkesan.

“Kita mengemukakan cadangan ini bagi mengelak kelemahan yang kini dialami pelbagai agensi kerajaan yang telah diwujudkan untuk memperkasakan industri asas tani sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette