Tan Sri Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Polis menahan tujuh suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Daesh dalam operasi khas yang dilakukan sejak Rabu lepas hingga semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini berkata, operasi yang dijalankan di Sabah dan Selangor oleh bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Bukit Aman itu membawa kepada tangkapan lima lelaki dan dua wanita.

Menurutnya, mereka yang ditahan berumur antara 18 hingga 53 tahun dan terdiri daripada dua warganegara Malaysia, tiga warganegara Filipina bertaraf pemastautin tetap Malaysia dan dua warganegara Filipina.

“Penangkapan pertama dilakukan pada 8 Mac di Kota Kinabalu melibatkan dua lelaki iaitu seorang warganegara Filipina yang berusia 18 tahun juga merupakan anggota kumpulan pengganas Daesh dan seorang lagi merupakan pemastautin tetap
warganegara Filipina berumur 27 tahun,” katanya.

Beliau turut menjelaskan warganegara Filipina itu merupakan anggota Daesh yang berbaiah dengan Isnilon Hapilon iaitu Amir kumpulan Daesh di selatan Filipina.

Katannya, warga Filipina berstatus pemastautin tetap itu pula bertanggungjawab
mengumpul dana kepada Dr Mahmud Ahmad dan Mohamad Joraime Awang Raimee iaitu rakyat Malaysia yang telah menyertai Daesh sejak 2014 di selatan Filipina.

Khalid berkata, tangkapan kedua pula dilakukan pada 9 Mac lepas melibatkan dua warganegara Filipina berstatus pemastatutin tetap iaitu seorang wanita berumur 53 tahun dan lelaki 40 tahun yang bertindak membantu penyusupan masuk tiga anggota Daesh Indonesia ke selatan Filipina melalui Sabah.

Sementara itu, pada hari yang sama Khalid menegaskan, seorang wanita yang merupakan suspek warga tempatan berumur 31 tahun ditahan kerana terlibat dalam membantu kemasukkan individu yang tidak mempunyai dokumen sah termasuk anggota Daesh dari
Indonesia untuk memasuki Filipina melalui Sabah.

“Turut ditahan ialah seorang mekanik wargananegara Filipina berumur 36 tahun di Sandakan kerana merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai kumpulan Daesh dan pada 12 Mac lepas, seorang lelaki warga tempatan ditahan di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang bertujuan menyertai kumpulan Daesh dengan bantuan Abu Fateh yang merupakan anggota kumpulan Daesh dari Sulawesi, Indonesia,” kata Khalid.

Sebelum ini lelaki berkenaan pernah ditahan oleh pihak berkuasa Turki bersama-sama beberapa anggota kumpulan Daesh warganegara Indonesia.

Beliau berkata ketujuh-tujuh mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) akan juga disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast