Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi amaran kepada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman.

Kenaikan sebanyak 11 sen bagi satu kilogram gula dari RM2.84 sen kepada RM2.95 sen sekilogram bukan alasan kukuh untuk peniaga menaikkan harga produk masing-masing.

“Kenaikan harga gula yang diumumkan kementerian saya berkuatkuasa 1 Mac lalu daripada harga yang dahulunya diwartakan pada Oktober 2013 adalah kenaikan sebanyak 3.8 peratus.

“Kita tidak dapat menggelak kenaikan ini kerana faktornya berpunca daripada kenaikan import harga gula mentah yang pada tahun 2013 berharga 15 sen USD bagi satu paun kepada 21 sen USD satu paun.

“Kenaikan harga mentah yang kita import mencecah hampir seratus peratus ini didorong oleh keadaan nilai ringgit kita pada tahun 2013 iaitu RM3.20 bagi 1 USD kepada RM4.46 bagi 1 USD ketika ini,” kata Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, kenaikan sebanyak 3.8 peratus dalam tempoh empat tahun ini tidak memberi banyak kesan kepada keseluruhan makanan yang diperbuat dari gula.

Kerana katanya, kalau dibandingkan daripada keseluruhan makanan yang diproses, peratusan 3.8 peratus itu bagi satu kilogram gula adalah satu peningkatan paling minima yang diuruskan kerajaan.

“Cuba kita perhatikan keseluruhan makanan yang diperlukan dalam negara kita, sepatutnya kita mengurangkan penggunaan gula sebagaimana dicadangkan oleh Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) hanya sembilan kilogram setahun.

“Tetapi, rakyat kita menggunakan gula sebanyak 25 kilogram setahun, iaitu tiga kali ganda dan penggunaan bagi setiap individu ini sangat besar,” kata beliau.

Mengenai ada rungutan harga gula di kampung dijual RM3.20 satu kilogram, Hamzah berkata, ada dua jenis gula dipasaran ketika ini ialah gula kasar yang dijual RM2.95 dan gula pasir (RM3.20 sekilogram).

Ujar beliau, harga gula pasir atau gula halus tidak terlibat dengan kenaikan, malah kekal pada harga RM3.20 dipasaran.

“Mengenai harga gula yang dijual di kampung mungkin pihak berkenaan silap faham. Kenaikan harga hanya melibatkan gula kasar,” katanya. – MalaysiaGazette