SINGAPURA – Dakwaaan penulis blog Han Hui Hui bahawa pegawai polis bantuan (APO) Malaysia mengeluarkan kata-kata kesat terhadap rakyat Singapura adalah tidak berasas, kata Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura hari ini.
Perkara itu adalah satu daripada lima dakwaan yang dibuat oleh penulis berkenaan mengenai layanan buruk yang diterimanya ketika ditahan di dalam lokap Mahkamah Negara republik ini.
MHA berkata pasukan yang ditugaskan menyelia lokap terdiri daripada para pegawai penjara dan dibantu polis bantuan Singapura dan Malaysia, yang digunakan khidmat mereka oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).
Menurut kementerian itu, Han menyiarkan sebuah artikel secara dalam talian bertajuk “Alone in a cell” melalui blognya di laman sesawang http://huihui247.blogspot.sg/, yang mengandungi dakwaan tentang layanan buruk yang diterimanya.
“Dakwaan ini tidak berasas dan palsu,” kata MHA dalam laman sesawangnya Selasa.
Han, 24, dilaporkan didapati bersalah dan dikenakan denda S$3,100 (S$1=RM3.14) pada Jun tahun lepas kerana mengganggu perjalanan sebuah majlis amal untuk kanak-kanak berkeperluan khas di Hong Lim Park pada 2014 dengan mengetuai satu bantahan penuh hiruk-pikuk, yang dianjurkannya tanpa mendapat kebenaran Lembaga Taman Negara.
Menurut MHA, SPS telah menemu bual pegawai berkenaan dan meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) serta dokumen berhubung penahanan Han di dalam lokap.
Penulis itu juga mendakwa dia dikehendaki menjalani pemeriksaan dalam keadaan tanpa berpakaian.
MHA bagaimanapun berkata pemeriksaan terhadap Han dilakukan seorang pegawai wanita dan penulis blog berkenaan berada dalam keadaan berpakaian sepanjang urusan itu.
Satu lagi dakwaan iaitu terdapat pegawai lelaki lalu ketika pemeriksaan dilakukan terhadapnya juga adalah tidak benar,” kata MHA.
“Cik Han ditempatkan di sayap wanita lokap berkenaan, yang tidak mempunyai akses kepada pegawai lelaki. Satu skrin privasi juga digunakan apabila pemeriksaan dilakukan,” katanya.
MHA berkata dakwaan Han bahawa tahanan tidak diberi kelengkapan dandanan diri selepas membuang air, “juga tidak benar” kerana kertas tandas akan diberi kepada tahanan yang memintanya.
Katanya Han diberi makan tengah hari ketika dia ditahan untuk sementara di situ.
“Han boleh menyuarakan isu itu pada bila-bila masa ketika dia ditahan dan SPS pasti menelitinya. Bagaimanapun, dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia memilih untuk menyiarkan cerita rekaan, palsu dan mengelirukan itu melalui media sosial.
“MHA memandang serius semua dakwaan itu dan akan menyiasatnya secara menyeluruh. Pada waktu sama, kami juga dengan tegas akan mempertahankan pegawai kami daripada serangan tidak berasas bagi memastikan integriti agensi penguatkuasaan undang-undang kami tidak dipandang rendah,” katanya.
— BERNAMA