Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menafikan beliau melakukan penyelewengan peruntukan wang ihsan Skim Warga Usia Emas (SWUE) sebagaimana didakwa Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

“Saya tidak pernah melakukan apa-apa penyelewengan daripada wang ihsan SWUE, jangan lemparkan fitnah kepada saya dan rakan saya yang lain kerana membuat fitnah adalah dosa dan mereka akan masuk ke neraka,” tegasnya ketika bangun mempertahankan tuduhan ke atasnya di Dewan Rakyat di sini, hari ini

Teresa berkata, beliau kesal dengan tuduhan palsu itu yang sebelum ini dilemparkan oleh pemimpin NGO Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md. Yunus dan disiarkan sebuah portal pro kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau hairan, Jamal yang telah merosakkan keharmonian masyarakat dengan provokasinya menerusi Gabungan NGO Malaysia menjadi konsultan dan guru kepada Irmohizam serta menuduhnya mengeluarkan wang SWUE hampir RM2 juta menggunakan kad ATM dari tahun 2016 sehingga Februari lalu.

Katanya, dalam tuduhan itu, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar mendakwa bantuan yang perlu diberikan kepada keluarga atau waris si mati sebanyak RM2,500, tetapi kebanyakan daripadanya menerima RM1,000 sahaja daripadanya.

“Saya memang tidak ingin membangkitkan perkara ini di Dewan Rakyat kerana ini isu Selangor, tetapi memandangkan Kuala Selangor bangkitkan isu ini dan heret nama saya dalam perbahasannya semalam, saya terpaksa memberi keterangan dengan operasi SWUE di dewan ini.

“SWUE adalah bantuan wang ihsan kepada keluarga si mati yang dilahirkan di Selangor iaitu si mati yang memegang kad pengenalan angka 10 ditengahnya.

“Setiap waris atau keluarga si mati akan diberi RM2,500 bawah skim ini. Keluarga si mati yang memohon bawah SWUE akan diberi wang tunai RM1,000 oleh Pejabat Wakil Rakyat yang diberi tauliah untuk melaksanakan pemberian wang ihsan ini terlebih dahulu dan dua bulan kemudian Pejabat Daerah akan memberi tambahan RM1,500 lagi kepada keluarga atau waris si mati,” katanya.

Beliau berkata, antara sebab kenapa Ahli Parlimen pembangkang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diberi kuasa menguruskan SWUE itu kerana ramai warga Selangor khususnya yang lahir sebelum 1974 tinggal di Kuala Lumpur.

Pada tahun itu, katanya, kebetulan Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan dan rakyat Selangor yang tinggal di sini akan mudah berurusan dengan beliau, tanpa perlu pergi ke Pejabat Wakil Rakyat di Selangor.

“Sebab itu, saya salah seorang daripada Ahli Parlimen (pembangkang) menguruskan permohonan SWUE di Kuala Lumpur untuk warga Selangor yang duduk di kawasan saya dan juga kawasan ibu kota,” katanya.

Mengenai prosedur pemberian wang ihsan SWUE, Teresa berkata, bagi Pejabat Wakil Rakyat yang menguruskan skim itu akan diberi satu kad ATM dan akaun bank khas di bawah penama wakil rakyat berkenaan oleh Pejabat Daerah.

“Akaun bank wakil rakyat itu diperuntukan sebanyak RM10,000 sebagai permulaan. Kakitangan Pejabat Wakil Rakyat menggunakan kad ATM itu untuk mengeluarkan wang tunai RM1,000 dari akaun untuk diberikan kepada keluarga atau waris si mati yang memohon bawah SWUE.

“Apabila RM10,000 dalam akaun itu habis dikeluarkan kepada keluarga atau waris si mati, kakitangan Pejabat Wakil Rakyat akan hantar semua dokumen pemohon dan si mati kepada Pejabat Daerah untuk rekod, kemudian Pejabat Daerah akan menambah lagi RM10,000 ke dalam akaun khas berkenaan sehingga jumlah itu habis diberikan kepada keluarga atau waris si mati.

“Semua dokumen pengeluaran wang dan penerima oleh keluarga atau waris si mati dipegang oleh Pejabat Daerah,” katanya. – MalaysiaGazette