C. Sivarraajh

KUALA LUMPUR –  Pemuda MIC Kebangsaan menyambut baik insiatif baharu Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melancarkan portal SEBENARNYA.MY.

Ketua Pemudanya, Datuk C. Sivarraajh dalam satu kenyataan di sini menyifatkan portal bagi membendung penularan berita palsu dalam kalangan rakyat itu sebagai satu langkah tepat pada masa.

“SEBENAR.my satu usaha kerajaan tepat pada masa yang akan membantu rakyat berbilang kaum menilai kesahihan setiap maklumat harian yang diterima dalam media sosial.

“Penularan berita palsu menjadi fenomena global dan mempengaruhi Malaysia secara melampau,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sivarraajh yang juga pegawai khas Menteri Besar Perak berkata, penyebaran berita palsu dapat dilihat pada pemilihan Presiden Amerika Syarikat November lalu.

Dalam perkembangan sama, Sivarraajh mengaku terdapat berita palsu sehingga pengguna Internet tidak dapat memastikan kesahihan dan fakta maklumat itu.

Katanya, trend itu semakin popular di Malaysia sehingga pengguna Internet terpedaya dengan berita palsu dan menyebarkannya tanpa memikirkan kesannya.

“Memandangkan kita bakal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 tahun ini, berita palsu ini sudah pasti akan bermaharajalela.

“Kewujudan portal baharu (SEBENARNYA.my) dapat membantu pengguna internet yang sentiasa terdedah dengan laman sesawang dan media sosial dapat berkongsi maklumat tepat dan sahih.

“Pemuda MIC percaya rakyat lebih rasional dalam memahami kesahihan sesuatu berita yang menular dalam media sosial, adalah lebih baik tidak kongsi sekiranya sesuatu berita tidak dapat dipastikan faktanya,”tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast