Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Cadangan agar kerajaan menarik balik semua subsidi jika harga minyak mentah dunia jatuh bawah paras USD40 setong perlu dikaji secara teliti, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau juga berkata berkata cadangan yang diutarakan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa itu adalah atas kapasitinya sebagai individu.

“Itu cadangan beliau. Jadi kita akan buat kajian dahulu,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 tiga agensi di bawah kementeriannya, di sini hari ini.

Annuar dilaporkan membuat cadangan itu di Arau, Perlis pada Ahad lepas semasa menjawab soalan seorang pelajar universiti yang hadir dalam siri jelajah beliau bagi memberi penerangan isu semasa kepada rakyat.

Terdahulu dalam ucapannya, Hamzah menyeru warga kerja tiga agensi berkenaan agar menerapkan budaya kerja disiplin, tanggungjawab, integriti serta menjaga kerahsiaan.

“Kita mesti memiliki jati diri sebagai anggota perkhidmatan awam yang menjalankan tugas dengan jujur dan telus,” katanya.

Pada majlis itu, 107 penerima daripada tiga agensi di bawah kementerian iaitu 68 dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, 35 warga Perbadanan Harta Intelek Malaysia) dan empat penjawat di Suruhanjaya Persaingan Malaysia menerima anugerah perkhidmatan cemerlang masing-masing.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast