PUTRAJAY – Warga Malaysia dijemput untuk meluahkan semangat cintakan negara melalui ‘Ekspresi Negaraku’ – acara yang padat dengan aktiviti menarik dan interaktif untuk seisi keluarga – di Dataran Putrajaya esok (18 Mac).
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Ekspresi Negaraku merupakan platform pertama untuk menggerakkan inisiatif ‘Negaraku’ yang bertunjakkan semangat cintakan Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Inisiatif yang akan dilaksanakan di seluruh negara itu bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara dalam diri rakyat.
“Ekspresi Negaraku diinspirasikan oleh kejayaan dan kemajuan yang kita telah kecapi sebagai sebuah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Acara itu akan diadakan dari pukul 7 pagi hingga 11 malam bertempat di Dataran Putrajaya, berhadapan Istana Kehakiman, Presint 3.
Ia akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka melibatkan peserta lebih 10,000 orang.
Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti Larian Bendera Negaraku dan Senamrobik Negaraku.
Di kawasan itu akan disediakan ‘Zon Kebanggaan dan Kecintaan’ yang akan memaparkan cerita individu-individu yang telah menyumbang kepada negara melalui ‘Kisah-Kisah Kejayaan Negaraku’ untuk menjadi inspirasi kepada para pengunjung, kata Salleh.
Zon Aspirasi pula menyediakan peluang kepada rakyat Malaysia untuk berkongsi harapan dan aspirasi mereka untuk masa hadapan negara.
Konsert Ekspresi Negaraku akan diadakan pada sebelah malam menampilkan artis-artis ternama seperti Amy Search, Ella dan Bunkface.
“Datanglah beramai-ramai untuk memeriahkan acara ini,” katanya.
— BERNAMA