KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini disaman seorang wartawan berpengalaman 23 tahun kerana menuduhnya cuba menggulingkan kerajaan negeri.
Wartawan akhbar Cina Guang Ming Daily, Ong Beng Siang, 40, menyaman Guan Eng kerana mahu mempertahankan maruahnya dan rakan-rakan wartawan lain yang terpalit dengan tuduhan tak berasas itu.
Peguamny,a Baljit Singh berkata, surat tuntutan guaman telah dihantar kepada Guan Eng pada 6 Mac lalu tetapi tidak berbalas.
“Kami failkan saman ini atas dakwaan Lim bahawa Ong tidak beretika, tidak profesional dan mahu menggulingkan kerajaan Pulau Pinang,” kata Baljit dipetik portal pembangkang selepas memfailkan saman hari ini. Baljit, yang juga ketua biro undang-undang dan hak asasi Gerakan berkata, dakwaan terhadap Beng Siang itu amat serius.
Beliau menuntut permohonan maaf, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada Guan Eng.
Guan Eng pada 22 Januari lalu dilaporkan berkata di Facebook bahawa terdapat pemberita yang mahu mencemarkan reputasi kerajaan Pulau Pinang. Katanya, jika mereka mahu menjatuhkan kerajaan, “gunakanlan fakta dan bukan menyiarkan laporan tidak berasas”.
Guan Eng difahamkan tidak sedang dengan laporan Beng Siang yang mendakwa lembaga pengarah Chung Hwa 3 memutuskan tidak membina cawangan pada tapak tanah yang disediakan kerajaan negeri kerana dasar-dasar yang ketat.
Pengarah sekolah itu bagaimanapun menafikan laporan itu. Ini mendorong Guan Eng mengeluarkan kenyataan balas terhadap Beng Siang. – MalaysiaGazette