ALOR SETAR – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah tidak sama sekali hairan mahu pun terkejut atas tindakan 500 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Baling yang bertindak mengumumkan keluar daripada parti.
“Bagi Pemuda Kedah ini adalah petanda awal bahawa krisis dalaman parti PPBM sekarang menjadi bertambah parah dan menuju ke arah kehancuran,” kata ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, masalah dalaman PPBM dilihat bermula apabila pucuk pimpinan parti PPBM enggan mengiktiraf Anina Saadudin sebagai Ketua Srikandi dan hingga saat ini, PPBM masih gagal menubuhkan sayap srikandinya secara sah.
“Pemuda UMNO Kedah juga melihat punca ‘pemberontakan’ dalaman ini juga berpunca daripada kewujudan beberapa kem kepimpinan di dalam PPBM.
“Secara amnya kita dapat simpulkan bahawa pimpinan PPBM sedia ada belum mampu menunjukkan nilai kepimpinan yang tinggi apabila berhadapan dengan sesuatu kemelut dan krisis,” ujarnya lagi.
Menurut Shauful Hazizy, tindakan pimpinan PPBM yang dilihat melantik orang luar untuk memimpin sesebuah kawasan juga boleh disimpulkan bahawa mereka sudah ketandusan kepimpinan dan terpaksa melantik pemimpin tangkap muat.
“Keghairahan pimpinan PPBM ingin sentiasa mengenengahkan ‘nama-nama besar’ ternyata memakan diri apabila nama besar tersebut tidak mempunyai pengalaman dan pendedahan yang cukup memimpin sesebuah pertubuhan politik,” katanya.
Pemuda UMNO Kedah juga yakin pimpinan PPBM juga sudah mempunyai ‘skrip’ standard bagi memperjelaskan krisis yang berlaku, katanya.
“Sudah tentunya tuduhan dan tohmahan akan dilemparkan kepada pimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang membeli atau menjamu ‘dedak’ mempengaruhi ahli-ahli PPBM meninggalkan parti mereka.
“Nasihat Pemuda UMNO kepada pimpinan PPBM, mereka bermuhasabah dan menilai kebolehan diri mereka sendiri dahulu sebelum menyalahkan orang lain,” ujar beliau.
Hakikatnya, krisis terbaru PPBM merupakan gambaran awal kerajaan yang bakal dibentuk jika pembangkang dalam pilihan raya.
“Pemuda UMNO Kedah ingin mengingatkan kepada rakyat pilihan raya bukanlah satu ‘ujian’ atau eksperimen tetapi lebih kepada pemilihan sebuah kerajaan yang mampu memerintah dan stabil, bukannya kerajaan berasaskan dendam serta tidak berupaya mengendalikan krisis dalamannya sendiri,” katanya.-MalaysiaGazette