Sohaimi Shahadan

KUALA LUMPUR – Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pakatan Harapan (PH) membuktikan Tun Dr. Mahathir Mohamad tunduk kepada DAP.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, mantan Perdana Menteri itu secara jelas telah menggadaikan prinsip perjuangannya apabila sanggup menjadi kawan kepada Lim Kit Siang.

Sebelum ini katanya, ketika memegang jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Mahathir dengan tegas dan lantang menyatakan pemimpin DAP itu sebagai rasis.

“Begitu juga dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM) yang suatu ketika dahulu sebagai pemimpin UMNO totok dan Melayu sejati, hari ini sedia bersama dengan parti dan pemimpin DAP yang anti Islam.

“PPBM sanggup mengetepikan perjuangan Islam dan Melayu apabila menjalinkan kerjasama dengan pemimpin serta parti yang jelas anti Melayu dan Islam.

“Setelah menyertai PH, Mahathir yang juga Pengerusi PPBM menyatakan pendirian apakah beliau dan kepimpinannya sedia menerima Perdana Menteri yang akan ditentukan parti PKR dan DAP sekiranya pembangkang menguasai Putrajaya,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Sohaimi juga mencabar Mahathir dan PH supaya menyatakan calon Perdana Menteri pilihan mereka sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Ujar beliau, sebagai sebuah parti yang dikatakan ingin menggantikan Barisan Nasional mereka sepatutnya sudah sepakat dan menentukan siapa bakal Perdana Menteri serta kabinet bayangan PH.

“Jika nama bakal Perdana Menteri mereka pun susah untuk ditentukan, apatah lagi mahu memperjuangkan nasib rakyat.

“Saya yakin rakyat mampu menilai perjuangan palsu pembangkang yang penuh agenda peribadi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast