ENGLAND – Arsene Wenger dilaporkan sudah bersetuju menguruskan Arsenal untuk tempoh semusim lagi.
Pengurus kelahiran Perancis dikecam kuat ekoran prestasi the gunners yang merudum sejak awal musim ini.
Penyokong kelab itu bertambah marah dan mendesak Wenger meninggalkan stadium Emirates selepas Arsenal tersingkir dari saingan Juara-Juara Eropah.
Mereka yang tidak berpuas hati dengan cara pengendalian Wenger, membawa banting dan sepanduk mendesak Wenger keluar dari kelab itu sejak kekalahan terburuk dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Arsenal dibelasah Bayern Munich dengan agregat 10-2 dalam pusingan ke-16.
Belum reda luka itu, Arsenal lagi dikecewakan dengan kekalahan di tangan West Bromwich Albions 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.
Bagaimanapun the Sunday Express mendakwa kontrak dua tahun disediakan pengasas kelab itu.
Tetapi Pengurus berusia 67 tahun itu difahamkan komited untuk kekal bersama Arsenal hanya satu musim lagi.
Ekoran kekalahan kepada West Brom, Wenger memberi indikasi bahawa dia sudah menentukan masa depannya tetapi enggan mengulas lebih lanjut.
Maka tindakan itu didakwa membayangkan Wenger sudah bersedia untuk menamatkan karier selama 21 tahun bersama Arsenal.
“Saya tahu apa saya akan buat dan kamu semua akan melihat tidak lama lagi,”kata Wenger.- MalaysiaGazette