Khalid Abu Bakar

MELAKA – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan terdapat beberapa lagi individu yang akan ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Beliau berkata, bagaimanapun identiti mereka tidak akan didedahkan bagi melancarkan siasatan yang dilakukan.

“Memang saya tidak menafikan terdapat sasaran individu-individu baharu termasuk orang Korea Utara yang terlibat dalam pembunuhan ini dan kita akan menggunakan saluran undang-undang untuk mendapatkan mereka.

“Namun saya tidak boleh mendedahkan siapa mereka, tapi kita percaya ada di antara mereka ialah orang penting,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembara Sang Saka Biru sempena Hari Polis Ke-210 pada 25 Mac ini.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan.

Turut diadakan ialah prapelancaran Kempen Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP).

Sementara itu Khalid berkata pihak polis masih menunggu bantuan daripada republik itu untuk menahan empat suspek lelaki yang dikehendaki iaitu Rhi Ji-hyon, 33, Hong Song-hac, 34, O Jong-gil, 55, dan Ri Jae-nam, 57 yang kini dipercayai berada di Pyongyang.

“Sekiranya pihak Korea Utara tidak mahu membantu, kita akan tengok apa-apa undang-undang lain yang boleh digunakan untuk menangkap keempat-empat suspek tersebut.

“Ini adalah kes jenayah. Janganlah kita campurkan dengan hal-hal politik. Kita menyiasat kes pembunuhan yang berlaku di negara ini. Jadi adalah menjadi tanggung jawab kita menyiasat dengan telus dan mengikut undang-undang sedia
ada,” katanya.

Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un didakwa dibunuh dua wanita warga asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lepas untuk
menaiki pesawat ke Macau.

Jong-nam yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol meninggal dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Dua wanita warga asing tersebut iaitu Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lepas berhubung kes itu.

Baru-baru ini mayat Jong-nam telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar untuk diuruskan.

Mengenai program kembara itu, Khalid berkata TAWP yang akan mengumpul dana kebajikan untuk bekas, pesara polis dan ahli keluarga mereka akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur pada 25 Mac ini.

“Kita tidak akan membenarkan lagi Persatuan Bekas Polis mengutip apa jua bentuk derma daripada masyarakat kerana orang ramai boleh memberi sumbangan dalam tabung khas ini yang dipengerusikan sendiri Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast