PULAU PINANG – Pelbagai kejadian di Pulau Pinang dan Melaka menunjukkan hubungan pemimpin DAP dengan wartawan akhbar Cina semakin keruh.
Selepas Ketua Menteri Pulau Pinang disaman oleh wartawan Guang Ming Daily, dan sekumpulan pemberita Melaka mengenakan baju hitam tanda protes ke atas kenyataan Guan Eng mengenai “Media Barisan Nasional (BN)”, seorang lagi wartawan bertikam lidah dengan pemimpin DAP.
Keadaan itu berlaku apabila wartawan mendapati Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik menghentikan kereta secara sembarangan dan perbuatannya dirakamkan pengguna media sosial.
Kwong Wah Yit Poh melaporkan, wartawan dikutuk Wei Aik apabila wakil rakyat itu diminta mengulas mengenai sebaran gambar di media sosial yang menunjukkannya meletak kereta di laluan pejalan kaki dan menghalang pili bomba.
Pemeriksaan lanjut oleh pengguna Internet juga mendapati Wei Aik turut mempunyai tiga tunggakan saman dan mencetuskan kontroversi. Dua saman dilaporkan adalah atas kesalahan melanggar had laju.
Apabila dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas (sms), Wei Aik bagaimanapun memberitahu, beliau tidak ingin mengulas “benda yang tidak berzat”, merujuk kepada berita daripada Internet.
Ahli Parlimen itu juga mengkritik pemberita kerana perlu bergantung kepada Facebook untuk menghasilkan berita, malahan mencadangkan supaya surat khabar ditutup.
Apabila wartawan menegaskan bahawa Wei Aik melakukan kesalahan dengan meletak kereta di tempat tidak sepatutnya, wakil rakyat itu pula berkata, beliau berasa sedih dengan kualiti wartawan semasa selain memberitahu dirinya pernah menjadi pemberita sebelum bertanding dalam pilihan raya.
Wei Aik juga mengatakan, “wartawan yang mengarut hanya akan menulis berita yang mengarut”, dan menambah, “saya tidak tahan dengan kejahilan anda”.
Sebelum mengakhiri komunikasi dengan wartawan, Wei Aik melemparkan, “Jangan cari saya lagi.”
Seorang pemberita akhbar Cina memfailkan saman fitnah terhadap ketua Menteri Pulau Pinang di Mahkamah Tinggi kerana mahu mempertahankan maruah diri dan wartawan Pulau Pinang.
Di Melaka pula, wartawan mengenakan baju hitam dalam majlis yang dihadiri Guan Eng kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya yang melabelkan empat akhbar Cina sebagai “Media BN”. – MalaysiaGazette