LANGKAWI, 20 Mac -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) disambut meriah ketika tiba di Pulau Tuba pada Program PM bersama Rakyat di Pulau Tuba hari ini. Turut kelihatan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

LANGKAWI – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan kerajaan pimpinannya akan memastikan pembangunan yang adil dan saksama akan terus dikecapi setiap kelompok masyarakat.

Katanya menerusi dasar ini, nikmat pembangunan negara bukan hanya dapat dirasai oleh penduduk di kawasan bandar sahaja, malah dapat meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat luar bandar khususnya golongan kurang berkemampuan.

“Kita amalkan dasar yang seimbang dan inklusif, dan saya tidak akan berganjak daripada prinsip ini,” katanya semasa merasmikan projek bekalan elektrik luar bandar 24 jam di Pulau Tuba di sini.

Projek yang diluluskan sendiri oleh Najib pada 2012 dengan kos kira-kira RM45 juta itu melibatkan bekalan elektrik menerusi kabel dasar laut dari Kuala Perlis dan memanfaatkan kira-kira 5,000 orang penduduk di pulau itu.

“Sayalah orang yang merasa sungguh gembira kerana apa yang saya lafazkan sebagai janji saya kepada masyarakat Pulau Tuba sudah dapat ditepati,” katanya. Najib berkata pelaksanaan projek bekalan elektrik menggunakan kabel dasar laut ke Pulau Tuba ini pada asalnya tidak tersenarai di dalam bajet tahunan kerajaan namun kesedarannya tentang kesulitan yang dihadapi masyarakat pulau itu menyebabkan beliau meluluskannya.



Katanya penduduk pulau ini yang sebahagian besarnya menjadi nelayan adalah kelompok masyarakat yang akan terus dibela demi untuk memastikan mereka sama-sama menikmati pembangunan yang sudah berlaku di Langkawi.

“Kalau kita sudah jadikan Langkawi sebagai pulau bebas cukai, kita tidak mahu yang untung pelancong sahaja tetapi rakyat tempatan ketinggalan,” katanya.

Beliau juga enggan melayan sikap segelintir pihak yang menganggap usahanya membantu golongan berpendapatan rendah selama ini sebagai cubaan merasuah rakyat.

“Ini dasar yang adil. Bukannya dedak, bukannya rasuah… Saya tidak mahu nelayan (terus) dihina. Kami ingin terus membela nelayan dan petani,” katanya.

Dalam majlis itu, Perdana menteri turut mengumumkan beberapa projek pembangunan untuk manfaat penduduk Pulau Tuba, yang hanya dapat dihubungi dari Langkawi melalui perjalanan bot selama kira-kira 20 minit.

Ini termasuk projek-projek sumbangan Tenaga Nasional Bhd untuk membina jeti penumpang bernilai RM650,000 yang dijangka siap Mei ini, pendawaian semula 32 buah rumah rakyat miskin bernilai RM60,000 dan pemasangan 38 lampu jalan.

Beliau turut meluluskan peruntukan RM800,000 untuk membaiki rumah rakyat miskin selain memasukkan projek membina stadium mini di Tuba dalam Bajet 2018.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast