Naib Cancelor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah diumumkan mendapat status Swa Akrediatsi oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini.

Naib Cancelor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, pengumuman itu dibuat dalam satu upacara khas sempena perjumpaan bulanan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dengan warga kementerian di sini pagi tadi.

“Usaha mendapatkan status Swa Akreditasi ini telah bermula sejak UiTM menerima jemputan daripada pihak Menteri pada tahun 2013 bagi menunjukkan bukti kesediaan dan kemampuan untuk menguruskan pengiktirafan program akademik yang ditawarkan.

“Kumpulan ini merupakan kumpulan kedua yang diberikan status swa, sebanyak empat universiti awam dan empat universiti swasta telah diberikan status ini pada tahun 2010,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hassan berkata, melalui pengiktirafan itu, UiTM terbukti mampu untuk mengurus, mengendali kecukupan dan kesanggupan mengawal sesebuah program akademik.

Jelasnya, status itu hanya mampu dicapai dengan kerjasama seluruh warga UiTM termasuk di kampus-kampus cawangan yang membentuk dokumen Self Review Porfolio, Self Review Report untuk diaudit oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia.

Walaupun UiTM sudah sekian lama mengamalkan pengurusan kualiti, namun dengan pengiktirafan ini, UiTM kini akan memperluaskan skop Jaminan Kualiti bagi merangkumi jaminan kualiti program-program akademik yang ditawarkan.

“Usaha ini akan diuruskan oleh Unit Jaminan Kualiti Dalaman di bawah Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu, UiTM.

“Bagi menyokong inisiatif ini pasukan panel penilai yang terdiri daripada pensyarah berpengalaman dalam bidang masing-masing dan/atau yang dilatih oleh MQA akan dilatih dan dibentuk,” katanya.

Hassan menambah, pencapaian itu juga akan dapat membantu universiti untuk menghadapi isu kekangan kewangan yang dihadapi, lantaran pengurangkan kos semasa proses untuk menawaran program baharu.

Ujarnya, walaupun UiTM kini telah menawarkan lebih 500 program pelbagai peringkat dan lokasi, namun pengiktirafan yang diperolehi melalui proses pengauditan yang teliti oleh panel MQA ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua warga UiTM di atas pengiktirafan ini.

“Saya berharap tadbirurus jaminan kualiti yang di amalkan kini akan dapat dikekalkan dengan lebih telus dan penuh integriti,” katanya lagi dalam kenyataan itu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast