KUALA LUMPUR – Klinik Pakar Kulit Dr Ko menyambut Hari Pengasas KO untuk tahun kedua bermula dari 24 Mac lalu sehingga 30 April ini.
Sambutan itu diadakan bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik menerusi pemberian ganjaran kepada pelanggan setia dengan pelbagai tawaran hebat.
Ini kerana dengan dengan setiap transaksi di Klinik Pakar Kulit Dr Ko, pelanggan menyumbang RM1 kepada badan kebajikan terpilih.
Pengasas klinik pakar itu, Datu Dr. Ko Chung Beng berkata, promosi khas turut ditawarkan kepada pelanggan yang menyumbang kepada kejayaan perniagaannya selama ini.
“Hidup kita akan lebih bermakna apabila kita membawa perubahan positif kepada masyarakat dan kehidupan seseorang.
“Tugas sebagai doktor adalah merawat pesakitnya dan juga mengembalikan keyakinan diri mereka.
“Saya percaya, setiap orang mampu mengubah hidupnya, namun masih terdapat kumpulan yang kurang bernasib baik yang memerlukan bantuan masyarakat dan rawatan.
“Marilah kita sama-sama menyumbang demi kesejahteraan dunia,“ katanya ketika majlis pelancaran Hari Pengasas Ko di sini kelmarin.
Turut hadir, dua artis tempatan Idris Khan dan Dynas Mokhtar.
Sepanjang 19 tahun menceburi industri kulit dan estetik di Malaysia, Dr. Ko turut menawarkan rawatan percuma kepada mangsa kebakaran kurang kemampuan yang dirujuk oleh doktor hospital kerajaan.
Beliau telah bermurah hati mengetepikan bayaran bil dan juga menampung kos pengangkutan mereka.
Justeru, Hari Pengasas KO diperkenalkan sebagai aktiviti tahunan dengan tujuan murni dan bantuan disalurkan kepada badan kebajikan yang berlainan setiap tahun.
“Kami ingin memupuk semangat tanggungjawab sosial dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk membantu masyarakat tempatan,” katanya.
Pada tahun lalu, Dr. Ko telah menyumbang RM27,000 kepada Yayasan Beautiful Gate untuk kumpulan kurang upaya.
Tahun ini, beliau menyasar untuk menyumbang sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Anak-Anak Sakit Kanser Malaysia.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada dua syarikat ini. Pada masa akan datang, kami merancang untuk bekerjasama dengan lebih banyak badan kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO),” tambah beliau.
Mengimbau latar belakangnya, Dr. Ko berada di United Kingdom selama 17 tahun untuk memperolehi kelayakan akademik dan bekerja sebagai seorang pakar dermatologi sebelum kembali ke Malaysia pada tahun 1994.
Beliau kemudiannya mengetuai Jabatan Dermatologi di Hospital Seremban sehingga 1997.
Pada tahun 1997, Klinik Pakar Kulit Dr. Ko ditubuhkan di tingkat satu sebuah rumah kedai di Klang, Selangor. Kini, klinik kecil ini berubah wajah menjadi Ibu Pejabat bagi 30 cawangan Klinik Pakar Kulit Dr. Ko di seluruh negara.
Selain produk penjagaan kulit sendiri, Klinik Pakar Kulit Dr. Ko juga dilengkapi dengan peralatan terapi laser yang paling lengkap di Asia. – MalaysiaGazette