KUALA LUMPUR – Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook hari ini mengaku pernah menyeru masyarakat Cina agar tidak takut dengan hukum hudud sebagaimana yang pernah dikatakan beliau pada 2013 lalu.
Anthony berkata, kata-kata yang dizahirkan beliau berpunca daripada agenda gabungan Pakatan Rakyat pada waktu itu yang tidak mengutamakan hukum itu untuk dilaksanakan.
“Kita (ketika itu Pakatan Rakyat) menyatakan tidak ada yang perlu ditakuti dan kita tidak menyokong agenda itu dibawa bukan agenda PR pada ketika itu. Tidak apalah, itu hanya mainan politik sahaja,” katanya kepada di Parlimen.
Ahli Parlimen Seremban itu mengeluarkan kata-kata berkenaan dalam sebuah ceramah menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
Anthony dalam ceramah itu berkata masyarakat Cina tidak perlu takut dan khuatir dengan hukuman hudud kerana jika tidak mencuri atau merompak, mereka tidak akan dikenakan hukuman hudud.
Video ucapan pemimpin DAP itu tular kembali di media sosial baru-baru ini.
Mengulas mengenai itu, Anthony mendakwa, penularan video ceramah ceramah merupakan mainan politik MCA.
“Itu mainan politik daripada MCA. Ini cubaan daripada MCA untuk mengatakan bahawa kita menyokong hudud itu agendanya tetapi kita sudah jelaskan.
“Pada ketika itu pun kita tidak setuju cuma kita kata jangan ditakutkan oleh MCA kononnya kalau PRU-13 masyarakat CIna menyokong PR, hudud akan dilaksanakan,” ujar beliau.
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan sebelum ini mendakwa DAP cuba mengelirukan rakyat apabila membuat pusingan ‘U’ dengan menentang pindaan Rang Undang-undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (pindaan 2016) atau Akta 355 (RUU 355) yang diperjuangkan bekas rakan sekutunya, Pas.
Ujar Huan, DAP kini dilihat menghasut masyarakat Cina membantah pindaan RUU 355, yang mana ia bertentangan dengan pendirian parti itu ketika masih bekerjasama dengan PAS, sewaktu PRU13 lalu.
DAP itu adalah antara yang lantang menentang pindaan Akta 355 yang dibawa Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga menyebabkan hubungan antara Pas-DAP terputus.
Perkara itu sekaligus menyebabkan terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) dua tahun lalu. -MalaysiaGazette.