KUALA LUMPUR – Datuk Siti Rahmah Kassim, seorang pejuang kemerdekaan negara, meninggal dunia akibat sakit tua di rumah anaknya di Kelana Jaya, pagi tadi.
Anak Allahyarham, Prof. Puan Sri Dr. Rohaty Mohd Majzub berkata, ibunya menghembuskan nafas pada pukul 10.55 pagi kerana sakit tua.
Allahyarham Siti Rahmah berusia 91 tahun, menghembuskan nafas di sisi anak-anaknya.
Siti Rahman juga dikenali sebagai ‘Tokoh Gelang Kemerdekaan’ kerana menjadi individu pertama menyerahkan gelang emas, hadiah pernikahan daripada ayahnya kepada Tunku Abdul Rahman untuk biaya perjalanan ke London.
Siti Rahmah dilahirkan pada 30 November 1930, di Kampung Batu Hampar, Rembau, Negeri Sembilan adalah srikandi UMNO.
Kali terakhir wartawan MalaysiaGazette menemui beliau pada Ogos tahun lalu, Siti Rahman sempat berpesan agar Perdana Menteri dan pemimpin negara menjaga Malaysia baik-baik sekiranya beliau sudah tiada lagi.
Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara petang ini. – MalaysiaGazette