IPOH – Tiada langkah khas yang diambil bagi mengawal keselamatan semua balai polis di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah yang dipercayai diancam gerakan militan Daish.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee berkata keadaan di semua balai di IPD itu juga adalah terkawal.
Polis Diraja Malaysia telah meningkatkan kawalan keselamatan di semua formasinya bagi menangani ancaman terutama militan Daish sejak arahan dikeluarkan tahun lepas, katanya kepada pemberita selepas Sambutan Memperingati Hari Polis ke-210 Kontinjen Perak, di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan berjaya mematahkan cubaan melancarkan serangan ke atas balai polis di Tapah susulan penangkapan seorang lelaki yang dipercayai anggota Daish.
Suspek berusia 31 tahun itu dan bekerja sebagai pembantu kedai makan dipercayai merancang menggunakan bom kereta. Dia antara sembilan suspek anggota Daish yang ditahan polis di beberapa lokasi antara 15 Mac hingga Selasa lalu.
Sementara itu, Gan berkata polis tetap mengadakan kawalan proaktif di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar sekalipun bahas antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di situ telah dibatalkan.
“Kawalan ini diadakan supaya kita dapat menjaga ketenteraman awam,” katanya.
Sebelum ini, bahas itu dijadualkan berlangsung di dewan MRSM berkenaan pada 2.30 petang hari ini namun permohonan penganjur untuk mendapatkan permit bagi acara tersebut ditolak oleh polis.
- BERNAMA