KUALA LUMPUR – Nama pelakon Adi Putra sangat disebut-sebut sepanjang minggu bermula denganĀ  isu kemelut rumah tangganya apabila dia mengesahkan sudah tiada lagi kaitan dengan kedua-dua isterinya baru-baru ini.

Selepas itu, nama Adi menjadi panas apabila seorang wartawan membuat laporan polis apabila pelakon kelahiran Singapura mendedahkan nombor telefon peribadi di laman sosial Intgram miliknya.

Tindakan Adi itu menyebabkan wartawan tersebut diganggu dengan pelbagai gangguan oleh individu yang tidak dikenali.

Selepas itu nama Adi tidak berhenti di situ, dia terpalit dengan satu lagi kontroversi apabila didakwa melanggar etika pemakaian ketika hadir ke Parlimen.

Pada Khamis lalu, bintang filem KL Gangster itu berkunjung ke Parlimen dan bertemu dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi.

Berdasarkan sekeping gambar yang tersebar di internet menunjukkan kedua-dua figura berkenaan kelihatan gembira dalam pertemuan tersebut kerana Adi pernah mengikuti program Asyraf di Kelantan sebelum ini.

Bagaimanapun, Adi didakwa tidak menghormati dan mematuhi peraturan pemakaian ke Parlimen kerana dia kelihatan hanya memakai kemeja lengan pendek tanpa tali leher, berseluar khakis,berkasut tanpa stokin dan tidak memakai blazer.

Lantaran penampilan Adi yang dianggap tidak sesuai untuk hadir ke tempat tersebut, segelintir pihak mendakwa tidak wajar institusi perundangan tertinggi dalam negara seakan-akan dihina.

Pemakaian Adi yang tidak kena tempat itu hanya satu kes daripada ribuan kes lain kerana sebelum ini difahamkan ada yang memakai kasut sukan, legging, bahkan hanya berselipar sahaja ketika hadir di Parlimen.

Parlimen telah menetapkan kod etika berpakaian bagi lelaki adalah lounge suit dan bertali leher, baju kemeja lengan panjang dan bertali leher, baju batik lengan panjang, baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok, seluar panjang berwarna gelap (slack) dan berkasut kulit.

Bagi wanita pula, baju kurung atau kebaya labuh / blouse berlengan panjang, skirt panjang di bawah paras lutut, sari dengan blouse berlengan dan pakaian kebangsaan kaum-kaum lain, seluar panjang (slack), lain-lain pakaian yang kemas dan sopan serta berkasut.

Dalam kod etika itu melarang mana-mana individu memakai baju tanpa lengan, jaket, seluar jeans, pakaian ketat dan menjolok mata, selipar, kasut sukan, atau baju berkolar bulat untuk memasuki Parlimen. – MalaysiaGazette