KUALA LUMPUR – Presiden Perancis, Francois Hollande akan memulakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula esok selepas kali terakhir beliau melawat negara ini pada tahun 2003.
Ia diumumkan Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu sidang media di Parlimen hari ini yang mengalu-alukan lawatan tersebut sempena ulangtahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua buah negara.
“Lawatan ini tepat pada masanya sempena ulang-tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Perancis. Malah, Perancis juga merupakan antara negara terawal yang mengadakan hubungan dengan kita selepas mengecap kemerdekaan,” kata Reezal.
Topik utama yang bakal dibincangkan sepanjang lawatan tersebut akan tertumpu dalam aspek pertahanan, mencegah keganasan dan juga perdagangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Hollande akan bertemu esok dan disusuli dengan mesyuarat delegasi.
Perancis merupakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah, perdagangan kedua-dua negara meningkat 6.3 peratus pada 2016 berbanding tahun sebelumnya dan kini berjumlah RM15.23 bilion.
Lebih 60 peratus eksport ke Perancis adalah produk elektrik dan elektronik, ia termasuk juga produk berasaskan getah, permesinan, produk bahan kimia dan juga tekstil.
Selain daripada itu, jumlah pelancong yang signifikan juga banyak melawat Malaysia yang berjumlah 134, 257 orang pada tahun 2016.
Pelaburan kedua-dua negara juga penting dimana daripada 160 projek yang diluluskan disertai dari Perancis, sebanyak 117 projek pengeluaran yang dilaksanakan meliputi jumlah pelaburan RM3.5 bilion.
Hollande akan disambut di Dataran Parlimen pagi esok dan kemudiaan berkunjung ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dan kemudian akan menyaksikan ketibaan pesawat pengangkut baharu milik Tentera Udara Diraja Malaysia, A400M di Subang.
Yang Dipertuan Agong juga berkenan untuk mengadakan Jamuan Negara bagi meraikan lawatan Hollande esok. – MalaysiaGazette