KUALA LUMPUR – Kos harga minyak mungkin akan mendorong kadar inflasi Mac meningkat melebihi 4.5 peratus seperti yang dicatatkan pada Februari.

Bagaimanapun masih tiada sebarang bukti yang menunjukkan tekanan harga semakin meluas di dalam ekonomi.

Dalam satu temubual dengan Bloomberg, Pengarah Jabatan Ekonomi, Bank Negara Malaysia, Fraziali Ismail berkata, kadar inflasi bulan lepas yang merupakan rekod tertinggi di dalam tempoh lebih lapan tidak mengejutkan bank pusat itu.

“Sekiranya harga minyak kekal seperti sekarang, ianya adalah mengenai “persoalan arithmetik” yang mengatakan inflasi akan meningkat.

“Biasanya pada masa lalu, akan berlakunya kesan pusingan kedua sekiranya ekonomi berada melebihi potensi dan jika ada tekanan permintaan.

“Benar, ekonomi sedang berada di atas tetapi kami tidak melihat tekanan-tekanan tersebut,” katanya dalam temubual yang berlangsung pada 24 Mac lalu.

Dalam laporan tahunan Bank Negara yang dikeluarkan minggu lalu, inflasi mungkin berada pada kadar purata tiga peratus sehingga empat peratus tahun ini, meningkat berbanding 2.1 peratus pada 2016.

Lonjakan inflasi tersebut menyulitkan tugas Bank Negara yang perlu memastikan kadar faedah cukup rendah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

Bank pusat itu telah mengekalkan paras penanda aras tiga peratus sejak pengurangan mengejut pada Julai.

Sementara pertumbuhan ekonomi kembali pantas, ia masih tidak mengatasi kadar output berpontensi yang dianggarkan sekitar 4.7 peratus tahun ini, kata Fraziali.

Ekonomi berkembang 4.2 peratus tahun lepas dan bank pusat mengunjurkan ianya berkembang 4.3 peratus kepada 4.8 peratus tahun ini.

“Kita beroperasi menghampiri potensi tetapi kami tidak melihat sebarang petunjuk ianya akan berlebihan.

“Kecuali ekonomi melonjak untuk meningkatkan pertumbuhan dan di situ terdapat potensi tinggi untuk kesan pusingan kedua.

“Bank Negara akan memantau petunjuk kelemahan ekonomi seperti pengangguran dan penggunaan kapasiti bagi mendapatkan pandangan lebih tepat bagaimana ekonomi semakin jauh daripada potensinya,” kata Fraziali.- MalaysiaGazette