Francois Hollonde (berdiri, kanan) dan Mustapa Mohamed (berdiri, kiri) menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Sime Darby Group dan Engie Group di Hotel Majestic Hotel, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Perancis memeterai enam memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang ekonomi dan perdagangan hari ini.

Dua perjanjian dimeterai antara syarikat Perancis, Engie Group dan Sime Darby, membabitkan usaha sama antara dua syarikat berkenaan berhubung penyediaan perkhidmatan pengurusan teknikal dan fasiliti dalam bidang kecekapan tenaga di bangunan kritikal, seperti lapangan terbang, hospital, pusat data, pejabat serta hotel berprestij.

Selain itu, perjanjian turut merangkumi penerokaan peluang perniagaan bagi membangunkan projek tenaga solar berskala besar, bukan saja di Malaysia, malah di rantau Asia Tenggara.

Sime Darby diwakili Naib Presiden Eksekutif Bahagian Industrinya, Scott Cameron manakala Engie Group diwakili Naib Pengarah Urusannya, Didier Holleaux.

Majlis pemeteraian perjanjian itu disaksikan Presiden Perancis, Francois Hollande dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa yang ditemui pemberita selepas majlis berkenaan berkata, Perancis merupakan antara rakan dagang penting kepada Malaysia dengan jumlah pelaburan Perancis di negara ini sebanyak RM15 bilion dengan sejumlah 270 syarikat beroperasi di negara ini.

Malaysia turut memperbaharui MoU dalam bidang bekalan tenaga elektrik membabitkan syarikat Perancis, Electricite de France (EDF) yang diwakili Pengarah Bahagian Asia Tenggara, Jean-Christophe Philbe manakala Tenaga Nasional Bhd (TNB) diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ir Azman Mohd.

MoU keempat mencakupi sokongan penubuhan pusat kecemerlangan untuk industri masa depan seperti penggunaan model ramalan dan data antara syarikat Air Liquide yang diwakili Naib Presiden Air Liquide Seapac, Ng Boon Hai dan Invest KL yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Amanshah.

Perjanjian kelima pula antara BPI France dengan Platcom Ventures Sdn Bhd bagi mengukuhkan promosi usaha sama dalam bidang industri kecil dan sederhana kedua-dua negara.

MoU itu ditandatangani Pengurus Rantau ASEAN BPI France, Marianne Wlassewitch manakala Platcom Ventures diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mark Rozario.

Satu lagi MoU adalah antara Prestariang Berhad dari Malaysia dengan Thales Group dari Perancis dalam bidang aplikasi pembaharuan sistem imigrasi kebangsaan yang ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif Prestariang, Dr Abu Hassan Ismail dengan Pengarah Negara Thales Group, Nicholes de Fougeroux.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast