Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak diiriring Pengarah theRakyat.com Tuan Haji Shamsulbahrin Ludin meletakkan logo eRakyat sebagai simbolik Majlis Pelancaran eRakyat, turut serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) dan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adanan Tengku Mansor (kiri) di Perkarangan Menara Dato' Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 29 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional perlu menangkis fitnah buruk pembangkang dengan merapatkan jurang informasi antara kerajaan dengan rakyat.

Menurut Najib, jurang informasi yang luas dalam kalangan rakyat kini menjadikan kerajaan sasaran apabila segala perancangan yang dibuat disalahtafsirkan.

“Kita sedia maklum sebagai sebuah kerajaan Barisan Nasional telah melakukan begitu banyak sekali usaha, program dan sebagainya demi kepentingan rakyat. Apa yang perlu kita lihat wujudnya apa yang dikatakan kurang informasi di mana bukan semua yang kita lakukan akan diketahui dan dimaklumi oleh rakyat.

“Apatah lagi dalam usaha-usaha untuk memutarbelitkan dan mengelirukan rakyat dalam menyampaikan fakta-fakta samada tidak betul ataupun separa betul atau tidak betul,” katanya ketika merasmikan e-rakyat di perkarangan Dewan Dato’ Onn, Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Buletin e-Rakyat merupakan platform kepada BN untuk memberi penerangan mengenai isu-isu semasa secara cepat dan tepat kepada rakyat.

Ujarnya, melalui buletin ini, masyarakat boleh mendapat maklumat yang benar, tepat, efektif dan tanpa prejudis, tentang usaha-usaha Kerajaan Barisan Nasional dalam menjuarai hal-hal kebajikan rakyat.

“Ini sekali gus mampu menangkis serangan-serangan, tohmahan-tohmahan dan propaganda palsu oleh pihak pembangkang, selain membendung terbentuknya persepsi negatif yang dilontarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap Kerajaan,” katanya lagi.

Jelas Najib yang juga Pengerusi BN, yang penting, parti ini perlu sentiasa lebih proaktif dan bertindak ke hadapan, terutama dalam meyakinkan rakyat tentang keupayaan serta keikhlasan kita bagi membantu mereka dan memimpin negara ini.

Dikeluarkan dalam pelbagai bahasa antaranya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Kadazan dan Iban.

Portal therakyat.com merangkumi video, kupasan isu-isu semasa, temuramah serta platform penerangan projek BN.

e-Rakyat dimulakan dengan edisi sebanyak lapan muka surat secara dalam talian, iaitu dua kali sebulan dan kekerapan penerbitan ini akan ditingkatkan dari semasa ke semasa, sehinggalah kepada setiap hari dalam sedikit masa lagi, ujar Najib.

E-buletin ini boleh diakses menerusi semua platform media sosial dan mudah dibaca di mana sahaja (anytime, anywhere), bahkan boleh terus dimuat turun serta dicetak, untuk diedarkan ke kawasan-kawasan yang capaian internetnya agak kurang memberangsangkan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast