Tengku Adnan Tengku Mansor (enam dari kiri) bergambar bersama 10 pembeli Residensi Seri Wahyu di Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 29 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Memiliki sebuah rumah sendiri di ibu kota adalah impian warga kota namun untuk merealisasikannya bukannya mudah.

Ini kerana tanah yang terhad menyebabkan harga kediaman di bandar-bandar besar meningkat, sekali gus menyukarkan lagi golongan muda, khususnya yang baru memasuki alam pekerjaan, mencai impian mereka itu.

Malah, Fethi Warda Abdul Rahim, 28, hampir berputus asa untuk memiliki rumah sendiri di tengah ibu negara apabila mengambil faktor harga rumah yang mahal.

Jururawat di Hospital Serdang begitu teruja apabila tidak dapat percaya dia mampu memiliki rumah sendiri di kawasan elit yang membangun pesat.

Fethi Warda Abdul Rahim
Fethi Warda Abdul Rahim

“Saya anak jati KL yang lahir dan membesar di sini bersama keluarga dan sejak 3 tahun lalu mencari rumah pertama untuk membeli namun gagal.

“Kalau nak beli rumah di KL itu umpama mimpi paling ngeri kerana tanah terhad dan harga rumah pun melambung hingga mencecah RM600,000 di kawasan yang jalannya sesak teruk.

“Tapi saya dapat juga membeli rumah di projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumahwip) dengan harga RM300,000 dilengkapi kemudahan ala kondominium selain parkir berbumbung menyebabkan saya sangat bersyukur dan tidak dapat diluahkan dengan perkataan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Jururawat di Hospital Serdang itu tegas tidak akan menjual kediamannya itu, Residensi Seri Wahyu, selepas tamat tempoh 10 tahun moratorium walaupun nilai kediaman akan melambung ketika itu.

Manothra Mallnaidu
Manothra Mallnaidu

Pakar teknologi maklumat, Manothra Mallnaidu, 28 berkata, inisiatif kerajaan itu tepat pada masanya bagi membolehkan penduduk ibu kota memiliki rumah di bawah RM300,000.

“Bagi golongan berpendapatan sederhana seperti saya, Rumahwip merealisasikan impian kami untuk memiliki kediaman sendiri yang selesa dan strategik dengan kemudahan pengangkutan di tengah ibu kota,” ujarnya semasa ditemui bersama ibunya di ruang pameran Pelancaran Rumahwip, Residensi Seri Wahyu di Jalan Kuching.

Bagi eksekutif sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya, kesesakan teruk hampir setiap hari di sepanjang Jalan Kuching tidak menghalang beliau membeli kediaman di Residensi Seri Wahyu.

Katanya, generasi muda yang masih bujang sepertinya dengan gaji tidak seberapa boleh melupakan hasrat membeli rumah di tengah ibu kota.

“Tetapi usaha kerajaan Persekutuan Kuala Lumpur yang menyediakan rumah mampu milik bernilai RM300,000 sahaja di tanah swasta agak mahal nilai pasarannya ini agak mengejutkan.

“Jika ikutkan pasaran hartanah sekarang di KL, saya tidak layak mendapat pinjaman bank kerana harga rumahnya melebihi RM650,000.

“Setelah puas mencari kediaman murah, Rumahwip merealisasikan impian saya mendapat sebuah rumah yang baik selesa dan dilengkapi kemudahan yang diperlukan.

“Syabas kepada komitmen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kementerian Tengku Adnan yang begitu prihatin dan serius untuk memastikan kami memiliki rumah sendiri,” ujarnya.

Menurut pemaju Residensi Seri Wahyu, Kumpulan Mah Sing, pelancaran fasa pertama yang merangkumi 500 unit daripada 660 unit telah habis dijual dalam tempoh dua jam pelancaran bermula 11.30 pagi tadi.

Bagaimanapun, bakal pembeli mula beratur sejak pukul 5.30 pagi.

Jurucakap Mah Sing, Emilia Mok Xiu Yoke berkata, pihaknya mendukung seruan kerajaan untuk menyediakan lebih banyak kediaman mampu milik kepada warga kota.

“Kami akan terus menyokong kerajaan dalam membangunkan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat di bandar raya ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast