Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) menerima penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Datuk Ho Han Sang (kanan) mengenai projek Residensi Seri Wahyu di Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 29 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mencabar pemaju supaya membangunkan tanah sendiri untuk menyediakan rumah mampu milik kepada warga Kuala Lumpur.

Keluasan tanah yang amat terhad merupakan kekangan kepada kerajaan, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, berikutan kekangan yang dihadapi itu menyababkan kerajaan memohon kepada Pejabat Tanah dan Galian dan agensi lain untuk menyediakan tanah bagi tujuan tersebut.

“Saya terpegun pemaju seperti Mah Sing Group menyahut cabaran kami dan tampil memberi kerjasama dengan kementerian merealisasikan salah satu projek impian Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAHWIP) di pusat bandaraya ini.

“Saya berharap lebih banyak pemaju swasta menyahut cabaran ini membina kediaman mampu milik di tanah sendiri untuk kesejahteraan dan pembangunan ibu kota,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan pengundian RUMAHWIP, Residensi Seri Wahyu di Jalan Kuching di sini.

Turut hadir pada majlis Datuk Bandar DBKL, Datuk Seri Mohd. Amin Nordin Abd Aziz dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum.

Mengulas lanjut, Setiausaha Barisan Nasional itu berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pemaju yang bersedia berganding bahu dengan asprasi Wilayah Persekutuan dan tidak mahu orang lain mengambil kesempatan menerusi pembangunan projek perumahan yang menghadapi masalah.

Malah katanya, kerajaan sentiasa memantau pemaju dan kontraktor bagi mengelak sebarang masalah dalam penyediaan rumah mampu milik.

Menyentuh projek kediaman Residensi Seri Wahyu, beliau, sebanyak 660 pembeli akan mendapat manfaat daripada kediaman yang dilengkapi kemudahan ala kondominium yang antaranya meliputi dewan serbaguna, kolam renang, pejabat pengurusan, pusat jagaan kanak-kanak, bilik gimnasium dan surau.

“Projek ini baru sahaja dibuka permohonan melalui portal RUMAHWIP pada 21 Februari lalu dan menerima permohonan luar biasa, lebih 1,000 daripada warga kota dalam tempoh sebulan ini dan kebanyakan pembeli adalah generasi muda.

“Ini menunjukkan usaha murni kerajaan diterima baik warga Kuala Lumpur khususnya generasi muda untuk kediaman bernilai RM300,000 seunit, seluas 805 kaki persegi dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air dan sebuah parkir berbumbung atas tanah seluas lebih setengah hektar di tengah bandar strategik dan elit.

“Projek Seri Wahyu sudah memasuki fasa pembinaan dengan tempoh perlaksanaan selama 36 bulan dan dijangka siap menjelang Mac 2020 nanti,” ujarnya lagi.

Beliau turut menasihatkan pembeli supaya mematuhi moratorium 10 tahun yang ditetapkan kerajaan iaitu tidak menjual hartanah itu, sebalinyak menjadikannya aset generasi keluarga mereka.

Sementara itu, Hoy Kum ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, beliau gembira untuk bekerjasama dengan DBKL dalam menyediakan RUMAHWIP itu.

“RUMAHWIP adalah projek pertama kami bersama kementerian dengan jumlah unit terbesar 660 unit, dan ini satu komitmen bersama kami untuk membantu rakyat di KL memiliki rumah sendiri di bawah harga pasaran.

“Kami berharap untuk terus bekerjasama dalam membangunkan lebih banyak projek perumahan mampu milik di ibu negara untuk warga kota selepas ini yang menjadi sebahagian tanggungjawab kami,” ujarnya.

Ketika ini Mah Sing Group melaksanakan 46 projek pembangunan perumahan di seluruh negara, termasuk projek terbaharu RUMAHWIP. – MalaysiaGazette