KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Yeo Bee Yin akan mengemukakan saman pemula kepada Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang sebelum ini mendakwa ADUN Damansara Utama itu menyalahgunakan peruntukan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).
Bee Yin mendakwa tuduhan yang dibuat Jamal adalah berunsur fitnah dan langkah perundangan akan diambil dengan mengadakan perbincangan bersama peguam beliau dalam masa terdekat.
“Saya akan saman dia (Jamal) di mahkamah, ini satu tuduhan jahat dan kita tidak boleh menerima politik sedemikian.
“Kalau ada bukti, Jamal boleh tunjukkan bukti dan kita juga tunjukkan dokumen bukti tetapi dia tidak berminat untuk menelitinya,” katanya seperti dipetik portal Selangorkini.
Minggu lalu Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar membuat laporan polis terhadap penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).
Laporan itu dibuat berikutan beliau mengesyaki berlaku penyelewengan dan pecah amanah oleh Bee Yin.
“Kami mengesyaki berlaku penyelewengan, ketidakjujuran dan pecah amanah yang dilakukan oleh ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin. Terdapat lebihan dana YAWAS sebanyak RM35,000 daripada ADUN Damansara Utama berkenaan,” kata Jamal.
Beliau sebelum ini membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor mengenai Penyelewengan Dana YAWAS oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan meminta penjelasan daripada Been Yin mengenai dana ribuan ringgit YAWAS yang diterima olehnya.
Bee Yin dalam pada itu berkata, Jamal memfitnahnya dua kali berhubung perkara itu dengan membuat laporan polis serta laporan kepada SPRM baru-baru ini.
Katanya, beliau telah hadir ke pejabat SPRM dengan segala bukti diperlukan tetapi tidak menjadi kenyataan ekoran Jamal sekadar menghantar wakilnya.
“Sekarang saya difitnah kali ketiga (dalam sidang dewan DUN Selangor oleh Umno-BN dan tahap politik sebegini amat rendah,” kata Bee Yin. -MalaysiaGazette.