SEPANG – Walaupun pernah terlibat dalam misi menyelamat di kawasan konflik di Libya, tetapi tugas kali ini membawa sembilan rakyat Malaysia dari Korea Utara tidak kurang cabarannya.

Leftenan Kolonel Hasrizan Kamis berkata, beliau mampu menarik nafas lega sebaik sahaja pesawat Bombardier Global Express meninggalkan ruang udara Korea Utara pukul 7.45 malam semalam.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa leganya perasaan saya selepas keluar dari ruang udara Korea Utara.

“Ketika itu kita tahu misi kita hampir berjaya membawa balik rakyat Malaysia dengan selamat,” katanya ketika ditemui di Komples Bunga Raya Lapangan Terbang Kuala Lumpur pagi tadi.

Hasrizan yang berusia 26 tahun berpengalaman sebagai juruterbang terlibat bersama anak-anak kapal Tentera Udara Diraja Malaysia yang lain dalam misi ini.

Mereka ialah dua juruterbang, dua pembantu juruterbang dan quartermasters serta kakitangan pertahanan.

“Kami mendapat arahan untuk bersedia pada hari Isnin dan menerbangkan pesawat Bombardier Global Express pada pukul 10.30 pagi semalam dari pangkalan udara Subang.

“Kami tidak pasti apa yang berlaku ketika kami memasuki ruang udara Korea Utara,” tambah beliau.

Menurut, tidak ada apa yang luar biasa berlaku sepanjang penerbangan itu.

“Cuma kami perlu menunggu agak lama dari masa ketika pesawat mendarat di Pyongyang pada pukul 4.30 petang waktu Malaysia dan waktu kami dibenarkan berlepas sekitar 7.45 malam,” katanya sambil menambah tidak tahu alasan penangguhan itu.

Katanya, pesawat itu kemudian berhenti di Lapangan Terbang Fuzhou Changle, China selepas meneruskan penerbangan ke Malaysia.

“Kami hanya bersyukur kerana berjaya membawa rakyat negara tiba di Malaysia,” katanya yang menyifatkan misi itu sebagai menyelamatkan keluarga sendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast