Warga Kenya, Nyamu Wanyolke, 20, dan Katie Clubb, 19, sesat ketika mendaki Bukit Broga.

KAJANG – Pasukan penyelamat berjaya menemui dua pelajar antarabangsa yang sesat ketika mendaki Bukit Broga, Semenyih, awal pagi ini.

Kedua-dua pelajar terbabit dilaporkan sesat semasa melakukan pendakian di bukit itu kelmarin.

Warga Kenya, Nyamu Wanyolke, 20, dan Katie Clubb, 19, dari Britain, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 2.45 pagi kira-kira satu kilometer dari puncak Gunung Tok Wan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd Sani Harul berkata, ketika ditemui kedua-dua mangsa dalam keadaan lemah kerana kekurangan bekalan makanan sejak 24 jam lalu tetapi tidak cedera.

Katanya, mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Kita temui mangsa berdasarkan perbualan pertama yang mengatakan mereka berada di pondok tinggal kumpulan yang melakukan kerja ukur di situ.

“Pasukan penyelamat berusaha membawa mereka turun melalui Sungai Kacau,” katanya menerusi kenyataan, pagi ini.

Sebelum itu, salah seorang mangsa yang berjaya dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan mereka selamat namun, tidak dapat memastikan lokasi di mana mereka berada secara tepat.

Seorang mangsa sekali lagi dapat dihubungi menerusi panggilan telefon kira-kira jam 6 petang semalam.

Seramai 48 anggota pelbagai agensi terbabit dalam operasi mencari mangsa, termasuk anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast