KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan berikutan unjuran pengumuman data perdagangan Malaysia yang positif, kata seorang peniaga.

Ketua Pakar Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamarudin Mohd Nor berkata, ringgit bagaimanapun berkemungkinan diniagakan dalam jajaran kecil antara 4.4100 dan 4.4200 berbanding dolar AS.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dijangka mengumumkan data perdagangan Malaysia untuk Februari pada 5 April ini. Kami turut menjangkakan angka yang diumumkan itu adalah lebih baik dan dapat merangsang nilai ringgit.

“Harga minyak mentah yang stabil juga dijangka memberi sokongan terhadap ringgit,” katanya kepada Bernama.

Mengulas perkembangan luaran, Kamarudin berkata, kenyataan pihak Rizab Persekutuan AS untuk menaikkan kadar faedah lebih daripada tiga kali pada tahun ini, berkemungkinan memberi tekanan kepada mata wang negara sedang membangun.

Sementara itu, Hong Leong Research berkata ringgit telah menokok 0.2 peratus bagi perbandingan minggu ke minggu berbanding dolar AS, sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan ketara dalam masa sehari pada minggu ini.

Malah ringgit turut meningkat berbanding mata wang kumpulan 10 negara, didorong oleh sentimen serantau yang lebih kukuh.

“Kami berpandangan sebaliknya terhadap ringgit berbanding dolar AS minggu depan kerana menjangkakan mata wang AS itu akan meningkat.
“Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa data ekonomi Malaysia yang kukuh itu boleh mengubah kerugian kepada peningkatan secara sederhana,” kata firma penyelidikan itu.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit bergerak dalam jajaran antara paras 4.4090 dan 4.4230 berbanding dolar AS.

Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan tidak berubah pada paras 4.4230/4280 berbanding dolar AS.
Berbanding kelompok mata wang lainnya pula, unit tempatan itu ditutup rendah kecuali dengan dolar Singapura.

Ringgit lemah berbanding yen kepada 3.9502/9550 daripada 3.9789/9845 pada Jumaat lepas, susut berbanding euro pada 4.7198/7260 daripada 4.7777/7849 manakala dengan pound Britain, ia merosot kepada 5.5009/5080 daripada 5.5248/5328.

Unit tempatan itu bagaimanapun meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1640/1685 daripada 3.1600/1651 pada minggu lepas. – MalaysiaGazette