Abdul Khalid Ibrahim

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak pernah berharap pengantinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta maaf kepadanya setelah mahkamah memutuskan tidak ada salahguna kuasa dalam pemberian wang pampasan kepada tujuh pegawainya.

Katanya, walaupun Menteri Besar itu serta kartelnya sentiasa mencanangkan perkara berkenaan untuk memberi imej buruk terhadapnya tetapi mahkamah telah memutuskan sebaliknya dengan menolak saman Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) bagi tujuan mendapatkan semula wang pampasan berkenaan.

“Sejujurnya saya tidak terkejut apabila beliau (Mohamed Azmin) dengan gah memberitahu media, yang beliau tidak akan meminta maaf kepada saya berdasarkan sikap ditunjukkannya sejak menerajui kerajaan negeri.

“Namun, saya agak terkejut apabila beliau cuba menyentuh soal moral ketika menyatakan pendiriannya berhubung keputusan mahkamah.

“Saya berasa pelik dan hairan bagaimana beliau mahu menggunakan elemen moral setelah gagal membuktikan tuduhannya melalui proses mahkamah,” katanya dipetik dalam status yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Menurut Abdul Khalid, jika Mohamed Azmin mahu mengenakan nilai moral yang tinggi dalam isu pemberian pampasan bernilai RM2.7juta, beliau juga perlu mempunyai sikap sama dalam isu pembayaran kepada SPLASH.

Beliau bertanya, adakah ianya bermoral bagi seorang menteri besar yang bersungguh-sungguh mendapat kembali wang pampasan berkenaan, sedangkan pada masa sama bersungguh-sungguh pula untuk membuat bayaran sebanyak RM3 billion kepada SPLASH meskipun taksiran asal hanya RM250 juta.

“Adakah ianya bermoral bagi seorang menteri besar membelanjakan ratusan juta ringgit membayar juruperunding undang-undang dan kewangan serta jurunilai semata-mata mahu menyediakan satu laporan yang menjustifikasikan lebihan bayaran kepada SPLASH?

“Adakah ianya bermoral bagi beliau selaku menteri besar mengalihkan beban kesalahan kepada Kerajaan Persekutuan di atas kelewatannya menyelesaikan penstrukturan semula industri air Selangor setelah gagal mendapat dana untuk membayar lebihan RM2.7 billion kepada SPLASH?

“Adakah ianya bermoral bagi seorang menteri besar sengaja tidak mahu mengenakan atau menyemak semula “bulk service rate” terhadap SPLASH, sedangkan boleh dilaksanakan sementara menunggu penyelesaian pengambilalihan,” soalnya.

Beliau yakin Mohamed Azmin sedar dengan kegagalan berbuat demikian SPLASH telah menikmati keuntungan melebihi RM400 juta setahun sejak 2014 sehingga 2016 dan akan berterusan sehingga penyelesaian tercapai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu turut bertanya, adakah bermoral bagi menteri besar membiarkan pembayaran terlampau tinggi kepada SPLASH yang akhirnya hanya akan meningkatkan tanggungan hutang negeri sehingga RM3 billion dan kenaikan tarif air kepada rakyat Selangor.

“Ketika saya amat pasti rakyat Selangor dapat memberi jawapan yang betul kepada persoalan ini, saya yakin Mohamed Azmin tidak berani berdepan dengannya,” katanya.

Kata Abdul Khalid, dalam isu moral dan pembayaran ke atas SPLASH sehingga meningkatkan beban negeri dan rakyat, beliau yakin pimpinan dari Pas dan mungkin UMNO boleh membincangkan dengan mendalam serta terperinci.

“Rakyat Selangor memang menyokong menteri besar dan kepimpinan negeri jika berpandukan kepada rating yang dikeluarkan agensi yang dibiayai kerajaan negeri.

“Tetapi adalah menjadi tanggungjawab moral bagi menteri besar memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan berhenti mengisi tembolok syarikat konsesi, apatah lagi jika mengamalkan sikap tidak bermoral dengan menyelam sambil minum air dengan turut sama menikmati habuan laba,” ujarnya. – MalaysiaGazette