Mat Nadzari Ahmad Dahlan

SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini dengan rasminya mencela tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Pernyataan itu dibaca Timbalan Speaker DUN, Mohd. Shafie Ngah pada akhir sesi persidangan dengan meminta Mat Nadzari berdiri untuk dewan membaca hukuman pertuduhan ke atasnya.

Dalam pernyataan dua muka surat itu, Mohd. Shafie memberitahu, Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan telah memutuskan ADUN Batang Kali cuba menaruh prasangka buruk di dewan melalui petikan ucapannya pada persidangan DUN 1 November 2016.

Menurutnya, dalam pernyataan jawatankuasa itu, dewan diingatkan mengenai tuntutan berfikir dan mengkaji sebelum memberi ucapan dan ADUN Batang Kali juga turut diingatkan agar jangan bersangka buruk apatah lagi apabila ianya melibatkan institusi beraja.

“Pejabat speaker juga telah menyediakan unit penyelidik yang boleh membantu semua ADUN untuk membuat kajian berkenaan hal ehwal perbahasan sidang Dewan Negeri.

“Amat aneh dan mengecewakan apabila Batang Kali memilih untuk tidak membuat kajian komprenhensif mahu pun menggunakan kemudahan yang telah disediakan ini.

“YB telah dipilih oleh rakyat di kawasan YB untuk menjadi pejuang kepada isu-isu rakyat yang mendasar ke dalam dewan bukan yang memprejudiskan dan prasangka buruk tanpa asas dalam dewan,” katanya ketika membaca pernyataan itu.

Sambung Mohd. Shafie lagi, ADUN Batang Kali sendiri harus sedar bahawa speaker dan timbalannya selalu bertindak adil serta memberi ruang kepada pembangkang iaitu Barisan Nasional (BN).

Katanya, beliau seharusnya menggunakan hak itu dengan jalan yang baik, bukan dengan cara sebegini rupa.

Beliau berkata, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan juga telah menjalankan tugas dalam menguruskan isu ADUN Batang Kali mengikut peraturan dewan dan bidang kuasa yang telah menaungi jawatankuasa.

Jelas Mohd. Shafie, ia bukan isu politik partisan atau ada apa-apa niat oleh jawatankuasa untuk membuat satu penindasan terhadap Mat Nadzari.

“Satu lagi, apa yang telah YB lakukan iaitu membawa perkara ini ke mahkamah amatlah mengecewakan. YB betul-betul faham akan konsep asas negara dan negeri demokrasi yang memikul pemisahan kuasa cadang pentadbiran.

“Hari ini bermakna apa-apa yang berlaku dalam dewan yang mulia termasuk Jawatankuasa Pilihan Dewan tidak patut dicabar dalam mahkamah seperti yang YB telah lakukan,” katanya.

Oleh itu, tegas beliau, Mat Nadzari perlu diingatkan bahawa pentafsiran peraturan tetap itu tertakluk dan diputuskan oleh speaker atau timbalan speaker bukan mahkamah.

“Saya harap langkah tersebut janganlah diulangi lagi atau oleh mana-mana ahli Yang Berhormat di dewan ini.

“Dengan ini dewan dengan rasminya mencela tindakan YB Batang Kali terhadap dewan yang mulia dan saya mahu pencelaan ini direkodkan dalam hansard,” katanya. – MalaysiaGazette