KUALA LUMPUR – Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL) sebuah klinik kerajaan yang terbesar dengan reka bentuk ‘Super Type 1 Clinic’ memulakan operasi kepada pesakit luar hari ini.

Klinik itu menggantikan Jabatan Pesakit Luar Hospital Kuala Lumpur yang telah ditamatkan operasi baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, KKKL akan menggunakan sistem ‘Teleprimary Care’ (TPC) sepenuhnya.

Katanya, sistem TPC akan digunakan secara menyeluruh iaitu dari pendaftaran hingga ke pengambilan ubat di Farmasi.

“Klinik ini sangat istimewa kerana bukan sahaja terbesar di negara malah menempatkan ramai doktor iaitu 56 orang pegawai perubatan.

” Selain itu sistem TPC iaitu pengendalian pesakit secara sistem berkomputer sepenuhnya dari pendaftaran hinggalah ke pengambilan ubat.

“KKKL juga dilengkapi 46 bilik konsultansi merawat 2,000 hingga 3,000 orang pesakit sehari berbanding JPLHKL sekadar 800 hingga 1,000 pesakit sahaja sebelum ini,” katanya dalam sidang media di sini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja ke KKKL di Jalan Fletcher di sini yang telah siap dan beroperasi hari ini selepas mula dibina pada 15 Januari 2014.

Katanya, KKKL telah dibina dengan kos berjumlah RM50 juta di atas tanah seluas 1.3 hektar bertujuan mengurangkan pesakit di HKL dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Kampung Baru, Datuk Keramat, Setapak dan Sentul termasuk warga kota.

Katanya, KKKL juga akan mengamalkan konsep ‘Doktor Keluarga’ iaitu satu pasukan kesihatan akan dikhaskan untuk merawat penduduk dari satu kawasan tertentu sahaja.

KKKL merupakan klinik ke-17 diuruskan Jabatan Kesihatan WPKL dan waktu operasi bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dan perkhidmatan selepas waktu pejabat akan dimulakan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu Pakar Perubatan Keluarga KKKL, Dr. Nor Mimiroslina Che Omar pula berkata, klinik berkenaan menyediakan 12 perkhidmatan iaitu untuk pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, pergigian, pakar perubatan keluarga dan pergigian, makmal, x-ray, farmasi secara drive-thru, SMS pick-up dan melalui pos.

Katanya, sistem TPC telah dilaksanakan di 90 klinik kerajaan seluruh negara secara berperingkat dari sistem kertas kepadsa berkomputer sejak lebih 10 tahun lepas.

“Menerusi sistem TPC dan perkhidmatan tanpa kertas akan melibatkan pendaftaran dan penyimpanan maklumat pesakit secara elektronik dalam data komputer dan boleh diperiksa di klinik lain.

“Kita boleh akses data pesakit dalam data komputer dari mana-mana klinik kerajaan di negara ini antaranya dari pendaftaran maklumat pesakit, pengambilan x-ray, ujian makmal boleh disimpan dan diakses pada bila-bila masa apabila diperlukan pegawai perubatan,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette