Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengarahkan Pentadbir Tanah Petaling (PTP) menarik balik notis pengosongan bangunan Sekolah Rohingya di Sri Serdang.

Beliau mengumumkan perkara itu petang ini, selepas kerajaan negeri bersetuju untuk menyediakan bangunan baharu bagi membolehkan anak yatim etnik Rohingya meneruskan pendidikan mereka.

Katanya, masyarakat tidak boleh menyalahkan pejabat daerah yang mengeluarkan notis itu ia diputuskan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

“Saya telah mengarahkan PTP dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) supaya mengenal pasti bangunan yang sesuai untuk kita jadikan pusat pendidikan bagi anak-anak etnok Rohingya ini,” katanya di Bangunan Annex di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dengan tindakan PTP mengeluarkan notis kepada Sekolah Rohingya Knowledge Garden Learning Centre di Sri Serdang agar mengosongkan bangunan itu bagi tujuan pembangunan kerajaan negeri.

Sebelum ini, pihak penguatkuasa PTP telah bertindak merobohkan kantin dan surau yang menjadi sebahagian daripada struktur bangunan sekolah itu, menyebabkan anak etnik Rohingya panik dan ketakutan.

Menurut Mohamed Azmin, kerajaan negeri tidak bertindak zalim, sebaliknya akan menambahkan lagi keselesaan pembelajaran bagi kanak-kanak itu dalam menimba ilmu pendidikan.

“Kita akan sediakan pendekatan terbaik kepada mereka,” katanya.

Sekolah Rohingya itu diuruskan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim Malaysia dengan dana terhad daripada bantuan dan sumbangan orang ramai.

Bagaimanapun, pengurusan sekolah berkenaan menerima notis agar mengosongkan kawasan berkenaan dengan alasan dibina secara haram atas tanah milik kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

Tindakan PBT Selangor roboh Sekolah Rohingya zalim