SM Faliq SM Nasimuddin

KUALA LUMPUR – Kumpulan Naza akan membina menara mercu tanda setinggi 100 tingkat dalam taman ala Central Park di ibu negara, bersebelahan Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), sebagai salah satu komponen KL Metropolis.

Pembinaan taman yang dinamakan Taman Metropolis itu merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk memperkasa dan kawasan hijau.

Sebagai timbal balas, Naza TTDI akan menaja penyelenggaraan taman tersebut bernilai RM20 juta untuk tempoh 15 tahun.

Timbalan Pengerusi Ekskutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin menjelaskan, KL Metropolis yang dibangunkan di atas tapak seluas 10 ekar dengan lima ekar daripadanya adalah Taman Metropolis.

Taman itu dilengkapi dengan ampiteater, trek jogging/berbasikal, taman permainan, taman air serta lebih 500 pokok akan ditanam untuk tujuan rekreasi.

KL Metropolis dibahagikan kepada 8 presint dengan pelbagai komponen seperti kediaman mewah, hotel lima bintang, menara pejabat dan kompleks membeli-belah berkeluasan dua juta kaki persegi.

Faliq menjelaskan, fasa pertama KL Metropolis telah dilancar 20 Oktober tahun lalu dengan pembangunan tiga menara di atas tapak 3.29 hektar yang menawarkan kediaman perkhidmatan suite dan kediaman terselenggara.

“Buat masa ini sambutan adalah sangat baik. Untuk dua bulan pertama 660 unit kediaman mendapat permintaan yang baik. Manakala untuk unit pejabat pula kami sedang berbincang dengan pemain industri namun tiada masalah buat masa ini,” jelas Faliq selepas majlis pecah tanah KL Metropolis di ibu negara.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.

Faliq turut, pihaknya difahamkan kemudahan pengangkutan awam MRT3 dan monorel akan dibangunkan untuk menghubungi taman yang dijangka siap sepenuhnya pada 2019.

Sementara itu, Mhd Amin berkata, kini DBKL melihat kepada pihak swasta untuk membina kawasan taman-taman dan menyelenggaranya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast