PULAU PINANG – Pemegang amanah sebuah yayasan berkepentingan bumiputera bergelar ‘Datuk’ yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kedudukan dibebaskan daripada tahanan reman pagi ini.
Ahli perniagaan berumur 70 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin.
Beliau dibenar dibebaskan selepas prosiding selama 30 minit di hadapan Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Majistret Pulau Pinang, Ahmad Tajudin Zain.
Sebaik sahaja dibebaskan, lelaki berkenaan yang sebelum ini memegang jawatan penting dalam beberapa konglomerat dibawa ke pejabat SPRM Pulau Pinang, Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.
Sebelum ini, ahli perniagaan berkenaan yang diwakili peguam Reza Rahim,; Ong Yu Shin, B. Jeyasingam dan N. Rajiwan direman sejak lima hari lalu dan tempoh reman berkenaan berakhir hari ini.
Pada 29 Mac lalu, beliau ditahan SPRM kira-kira pukul 8.30 malam di sini kerana dipercayai mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada anak syarikat milik yayasan berkaitan bumiputera di sini sejak beberapa tahun lepas.
Menurut sumber, beliau dipercayai menjual tanah milik anak syarikat yayasan itu kepada sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dengan harga jauh lebih rendah daripada harga asal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan beliau tanpa melalui proses dan tatacara yang telah ditetapkan oleh anak syarikat yayasan berkenaan.
Selain itu, lelaki berkenaan yang juga pemegang amanah dan pengarah di dalam anak syarikat yayasan tersebut disyaki membuat keputusan untuk menjual tanah-tanah berkenaan tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat yayasan.
Beliau dipercayai akan mendapat sekurang-kurangnya satu peratus daripada nilai tanah yang dijual sebagai habuan. – MalaysiaGazette