Rosni Sohar

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar meminta pihak yang menyebarkan fitnah kononnya beliau terlibat dalam pengagihan penerimaan rumah mampu milik Projek PPR Taman Danau agar segera memohon maaf secara terbuka.

Katanya, jika pihak berkenaan yang sudah dikenalpasti itu tidak berbuat demikian dalam tempoh terdekat, beliau tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ujarnya, beliau terpaksa berbuat demikian demi untuk membersihkan namanya sebagai wakil rakyat kepada penduduk di Hulu Bernam.

“Semalam tersebar luas satu mesej fitnah mengenai penglibatan saya dalam pengagihan penerimaan rumah PPR Taman Danau melalui aplikasi Whatsapp dan juga laman sosial Facebook,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Rosni berkata, projek itu di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pemindahan penduduk Kampung Hassan, yang mana Menterinya, Tan Sri Noh Omar telah menyempurnakan majlis penyerahan kunci kepada sebahagian penerima pada 9 Mac lalu.

“Saya menegaskan, semua yang didakwa dalam mesej tersebut tidak benar dan dibuat semata-mata untuk memfitnah saya sebagai ADUN di kawasan berkenaan.

“Projek Barisan Nasional (BN) yang sememangnya dinantikan penduduk Kampung Hassan ini, pastinya memberikan tekanan kepada pihak Pakatan Harapan (PH) yang kini jelas goyah serta cuba untuk mengelirukan rakyat dengan menyebarkan mesej fitnah ke atas saya,” ujar beliau.

Menurut Rosni, PPR Taman Danau itu diuruskan secara keseluruhan oleh KPKT dan permohonan bagi rumah mampu milik ini dilakukan mengikut prosedur serta peraturan yang lengkap melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor.

“Saya hendak menjelaskan, saya sama sekali tidak terbabit dalam pembuat keputusan dan tidak menganggotai Jawatankuasa Pemilih dalam menentukan kelulusan permohonan bagi rumah mampu milik ini.

“Senarai pemohon yang diluluskan dan layak menerima rumah ini telah dipamerkan di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor dan dakwaan saya menyembunyikan status 40 unit rumah ternyata hanya fitnah dan dakwaan palsu semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, mesej berunsur fitnah itu juga turut dikongsi dalam akaun facebook Ahli Majlis Daerah Zon Hulu Bernam, B. Rajakumar dengan nama ‘Raj Kumar’.

“Saya dimaklumkan B. Rajakumar ini juga merupakan pemilik salah sebuah rumah PPR Taman Danau yang dibeli secara tunai dan ini jelas membelakangkan keperluan rakyat lain yang lebih layak untuk menerima rumah ini.

“Saya turut diberitahu bukan sahaja beliau, malah tiga orang lagi keluarga terdekat Ahli Majlis ini turut menerima rumah mampu milik ini melalui perpindahan pendudukan Kampung Hassan ke Perumahan PPR Taman Danau,” kata beliau.

Kata Rosni, jelas kerajaan BN telah menunaikan janji dan tidak memilih sebarang latar belakang politik penerima, namun atas keterdesakan PH untuk menimbulkan keraguan di hati pengundi, maka beliau difitnah demi menjayakan cita-cita politik individu atau pihak tertentu. – MalaysiaGazette