PETALING JAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan cadangan seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat semalam, agar perogol mengahwini mangsanya sebagai melampau batas.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, kaedah berkenaan bukan jalan penyelesaian, tambahan pula dalam Islam perbuatan merogol adalah terhimpun dalam dosa besar.
“Perbuatan rogol tidak diterima oleh Islam. Kaedah yang dicadangkan itu pula tidak akan menyelesaikan masalah sosial.
“Saya fikir agak melampau batas kerana seolah-oleh itu penyelesaiannya, sedangkan merogol adalah perbuatan terkutuk,” katanya kepada pemberita pada sidang media mengumumkan pelantikan kepimpinan sayap Srikandi Malaysia (Srikandi) PPBM di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shahbudin Yahya di Dewan Rakyat semalam, yang dilaporkan berkata, tidak salah jika mangsa berkahwin dengan perogolnya dan lebih baik untuk gadis itu kerana kalau tidak masa depannya gelap.
Menurut Muhyiddin, selain cadangan itu mengelirukan, beliau mahu pihak berkenaan mendapatkan pandangan tokoh agama iaitu antara golongan yang boleh menyelesaikan masalah itu.
Mengenai keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk tidak akan membentangkan usul pindaan persendirian Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) yang dicadangkan Pas, Muhyiddin berkata, PPBM kekal dengan pendiriannya sebelum ini iaitu menyerahkan kepada Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette