Ramesh Rao Krishnan Naidu

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) hari ini menawarkan diri untuk menjadi penganjur wacana debat terbuka antara Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Presiden PMSP, Ramesh Rao berkata, badan badan bukan kerajaan (NGO) itu bersedia menyediakan apa yang perlu dalam memastikan program wacana yang bakal menjadi tumpuan rakyat dan media itu berjaya dan berjalan dengan lancar.

“Kita bersedia menyediakan tempat dan segala kemudahan untuk debat itu berlangsung kerana kita mahu memberi peluang kepada dua ikon pemimpin ini berdebat di atas pentas terbuka mengemukakan fakta kepada rakyat dan para pemerhati,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, bekas pemimpin DAP, Tunku Abdul Aziz mencabar Kit Siang berdebat mengenai dasar dan pemerintahan diktator yang menjadi asas perjuangan parti yang banyak didominasi kaum Cina itu.

Dalam satu sidang media, beliau yang juga bekas Naib Pengerusi DAP, mengemukakan cabaran itu berhubung keputusan Kit Siang melantik orang Melayu untuk menduduki kerusi Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Dalam perkembangan sama Ramesh berkata, berkenaan format debat itu, ia boleh dibincangkan bersama Tunku Abdul Aziz dan Kit Siang jika mereka berdua bersetuju.

Mengulas lanjut, beliau bersimpati dengan Kit Siang apabila pemimpin DAP itu tidak ada platform untuk mengemukakan fakta berkaitan dasar dan cara gerak kerja parti dalam DAP kepada orang ramai.

“Jadi, kita sedia jadi penganjur dan sediakan pentas untuk Kit Siang cerita berkenaan parti DAP dalam bentuk fakta dan bukti.

“Saya tahu Kit Siang yang kononnya memperjuangkan demokrasi cuma sentiasa mencari jalan untuk menafikan hakikat bahawa dia adalah seorang diktator dan hipokrit,” katanya yang juga bekas ahli DAP. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast