KUALA LUMPUR – Hari terakhir sesi Dewan Rakyat kecoh apabila blok pembangkang tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 yang dibentang oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Penangguhan tersebut diputuskan selepas Ahli Parlimen Kota Bharu (Pas), Datuk Takiyuddin Hassan selesai mengemukakan usul sokongan berhubung rang undang-undang persendirian tersebut.
“Maka saya telah membuat ketetapan untuk perbahasan selanjutnya atau masalah ini dikemukakan kepada majlis dan dibahaskan serta diputuskan pada sesi yang akan datang.
“Atas sebab itu, saya minta seorang menteri untuk membaca Peraturan Mesyuarat 12 (1) supaya mesyuarat dapat ditangguhkan,” kata Pandikar semasa membuat keputusan itu hari ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said kemudiaan bangun dan membacakan peraturan mesyuarat untuk menangguhkan sesi ke sidang seterusnya.
Keputusan tersebut menyaksikan pemimpin PKR dan DAP berang kerana kebiasaannya selesai usul tersebut dibacakan, ia akan dibahas da kemudiaan dibuat undian sebelum ia menjadi satu usul.
“Ini satu keputusan yang tidak adil,” kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sejurus keputusan itu.
Usul yang dikemukakan Abdul Hadi tersebut mahu meninggatkan hukuman maksimum kesalahan syariah daripada penjara 3 tahun kepada 30 tahun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan rotan kepada 100 sebatan.
Usul kekal menjadi usul peribadi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lepas mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan ia sebagai rang undang-undang kerajaan, atas dasar konsensus dalam Barisan Nasional.
Sidang mesyuarat pertama Dewan Rakyat bagi penggal ke-5 Parlimen ke-13 berakhir hari ini kira-kira jam 4 petang tadi. – MalaysiaGazette