KUALA LUMPUR – Walaupun selebriti Singapura Najip Ali dan Mediacorp telah tampil memohon maaf atas isu menghina dan mempersendakan Perdana Menteri Malaysia, nampaknya kontroversi itu belum selesai.
Ini kerana kedudukan Najip sebagai salah seorang panel juri bagi program Astro iaitu Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017 dilihat sudah berakhir.
Difahamkan, Astro telah menawar kepada pelawak terkenal, Harith Iskander bagi mengisi kekosongan itu.
Namun juara pertandingan Funniest Person in the World itu terpaksa menolak tawaran kerana jadualnya yang sudah penuh pada Jumaat malam.
Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad mengambil jalan selamat untuk memberi ulasan lanjut.
“Buat masa ini pihak kami tidak mempunyai sebarang komen mengenai perkara ini,” katanya ringkas.
Sehingga kini pengganti Najip sebagai juri tetap MLM2017 di samping Datuk Rosyam Nor dan Luna Maya masih menimbulkan tanda tanya.
MLM2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam.- MalaysiaGazette