PULAU PINANG – Seorang penunggang motosikal ditahan polis di Hospital Pulau Pinang pagi ini kerana disyaki  merempuh seorang wanita warga emas semalam yang video kejadian itu menjadi viral di laman sosial.

Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan selepas dia mahu mendapatkan rawatan di hospital berkenaan dipercayai kerana kecederaan dialami akibat kemalangan terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, suspek ditahan dan dibawa ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Kejadian langgar lari yang sempat dirakam.
Kejadian langgar lari yang sempat dirakam.

Semalam, pengguna media sosial dikejutkan dengan video seorang wanita berusia 50-an dirempuh seorang penunggang motosikal ketika melintas jalan di Jalan Burmah di sini.

Akibat rempuhan kuat itu, wanita berkenaan yang melintas jalan di garisan belang terpelanting beberapa meter dan cedera parah serta tidak sedarkan diri.

Video berdurasi 12 saat itu turut menunjukkan lelaki tersebut bertindak memecut laju selepas melanggar wanita berkenaan dengan seorang penunggang motosikal lain cuba mengejarnya.

Mangsa yang dibawa ke HPP untuk rawatan lanjut bagaimanapun meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast