TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyokong langkah Amerika Syarikat (AS) melancarkan sekurang-kurangnya 59 peluru berpandu ke arah rejim Syria, malam tadi.

Netanyahu dilapor memberikan mesej jelas terhadap kempen ketenteraan Amerika Syarikat di Syria sebagai tindak balas kepada serangan senjata kimia.

“Menerusi kata-kata dan tindakan, Presiden Donald Trump menghantar mesej kuat dan jelas hari ini bahawa penggunaan dan penyebaran senjata kimia tidak akan diterima.

“Israel menyokong penuh keputusan Presiden Trump dan berharap ini menjadi mesej nekad dalam menghadapi tindakan zalim rejim Presiden Bashar al-Assad bukan hanya dilakukan di Damsyik, tetapi juga di Iran, Korea Utara dan tempat lain,” katanya seperti dilaporkan.

AS melancarkan peluru berpandu yang mula mengenai sasaran bermula jam 8.30 malam tadi waktu tempatan dan serangan berterusan selama tiga hingga empat minit.

Peluru berpandu Tomahawk itu dilancarkan dari dua kapal tentera laut milik AS.

Presiden AS, Donald Trump berkata, tentera negara itu telah melakukan serangan peluru berpandu terhadap Syria sebagai tindak balas penggunaan senjata kimia oleh rejim Syria minggu ini yang turut mencederakan ratusan orang awam.

“Saya mengarahkan tentera menyasarkan pangkalan udara rejim Syria di mana serangan menggunakan senjata kimia dilancarkan.

“Ia adalah berkaitan kepentingan keselamatan Amerika Syarikat untuk mencegah dan menghalang penyebaran dan penggunaan senjata kimia maut,” ujar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast