KUALA LUMPUR – Walaupun personaliti Singapura, Najip Ali telah membuat permohonan maaf namun Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tetap membuat laporan polis.
Menurut Presidennya, Zed Zaidi, laporan itu sebagai memberi pengajaran kepada personaliti luar negara itu tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga mana-mana pemimpin kerajaan negara ini.
Beliau bersama beberapa barisan kepimpinan Seniman tiba di Balai Polis Dang Wangi kira-kira jam 10.45 pagi ini untuk membuat laporan dan selesai kira-kira jam 12 tengah hari.
Dalam laporan itu, beliau menyatakan kesal dengan tindakan personaliti Singapura itu yang dipilih menjadi juri tetap Maharaja Lawak Mega 2017 tetapi secara terbuka pada 29 Mac lalu menghina Perdana Menteri menerusi saluran televisyen Channel 5 Corp Singapura.
Najip dalam rancangan hiburan OK Chope cuba melengkapkan satu perkataan yang diberikan oleh penerbit untuk melengkapkan tajuk berita berkaitan Najib.
Berikutan itu, personaliti berkenaan dikecam pelbagai pihak termasuk badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang mendesak kerajaan melarang Najip memasuki Malaysia dan menggesanya memohon maaf.
Bagaimanapun, pada Rabu lalu, Najip membuat permohonan maaf kepada Perdana Menteri atas keterlanjurannya dalam program OK Chope Episod 26.
Dalam kenyataannya, Najip dilaporkan berkata, beliau menyesali tindakannya pada program itu yang telah mengundang ketidakpuasan hati penonton.
Mengulas lanjut, Zed Zaidi berkata, Seniman memandang serius perkara itu dan menganggapnya sebagai tidak wajar dilakukan oleh penghibur ternama di sesebuah negara yang mencari makan di Malaysia. – MalaysiaGazette