Abdul Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) ada hikmah tersendiri, kata bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Selain dapat meredakan perbalahan pembangkang dengan kerajaan dan Pas, lebih penting ia dapat mengelak perbalahan antara orang Islam dan bukan Islam, katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Menurutnya, RUU355 atau pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 2016 adalah sesuatu yang sensitif dan tindakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia adalah satu tindakan terpuji.

“Tan Sri Pandikar membuat keputusan yang baik. Akta 355 ini sangat sensitif. Pada masyarakat Islam ialah satu usaha untuk memartabatkan mahkamah syariah.

“Kalau ada perbincangan yang terlalu hangat di Dewan Rakyat, masyakat akan merasakan timbul perbalahan antara orang Islam dan bukan Islam,” katanya.

Pada Khamis lalu, sesi Dewan rakyat ditangguhkan lebih awal daripada biasa selepas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan menyokong perbentangan usul persendirian berkaitan akta 355 itu.

Pindaan berkenaan dibentang Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengulas mengenai itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, situasi itu memerlukan tempoh rehat bagi memberikan masa kepada semua ahli parlimen untuk berfikir secara profesional tanpa perlu berbalah sesama sendiri.

“Saya percaya speaker bagi masa sebagaimana orang bergaduh kita hentikan dahulu. Ini untuk dibincangkan secara profesional,” katanya lagi.

Semasa mengumumkan penangguhan itu, Pandikar dikecam beberapa ahli parlimen pembangkang blok Pakatan Harapan yang menyifatkan tindakan Pandikar Amin menghalang mereka mempersoalkan hak untuk berhujah berkenaan Akta 355.

“Itu menunjukkan siapa yang akan sokong dan siapa yang menolak dan dalam usaha kebaikan tidak semua orang akan sokong. Rakyat yang akan menentukan siapa yang akan sokong dan siapa yang tidak sokong,” jelas Khalid lagi.

Khalid yang juga seorang wakil rakyat bebas selepas dipecat daripada PKR sebelum ini menyatakan sokongan beliau terhadap pindaan Akta 355 yang dibawa Pas.

Ujarnya, perkara ini tidak perlu dibincangkan kerana hanya menambah kuasa Mahkamah Syariah. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast