Anggota tentera memeriksa tiang elektrik yang di bom oleh pihak tidak diketahui. Foto oleh Bangkok Post

PATTANI – Sebahagian kawasan di empat wilayah selatan Thailand terpaksa bergelap berikutan serangan khianat yang memusnahkan lebih 50 tiang elektrik awal pagi semalam.

Dalam tempoh kira-kira satu jam bermula 12 tengah malam (waktu tempatan) sehingga 1 pagi, lebih 40 butir bom diletupkan memusnahkan tiang elektrik.

“Sebanyak 52 tiang elektrik di 19 daerah di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla dimusnahkan dalam serangan khianat itu. Bekalan elektrik masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya di beberapa kawasan yang terjejas,” kata jurucakap tentera Bahagian Ke-4, Kolonel Pramote Prom-in, hari ini.

Pihak yang bertanggungjawab itu juga menabur paku, membakar tayar dan melakukan beberapa serangan khianat lain.

Pramote bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecederaan atau kematian akibat serangan itu.

Menurutnya, pasukan keselamatan Thailand masih menjalankan siasatan motif serangan, sama ada berkaitan dengan majlis menandatangani perlembagaan baru negara semalam atau tidak.

Dalam majlis penuh tradisi di Ananta Samakhom Throne Hall itu, Raja Thailand Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun menandatangani perlembagaan negara itu yang ke-20 bagi membolehkan mengadakan pilihan raya umum.

Serangan juga berlaku ketika Mufti Mesir, Dr Shawki Allam berada di selatan Thailand memenuhi jemputan Kementerian Luar Thailand. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast