KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menegaskan pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh dibandingkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, perbandingan epal dengan epal hanya sesuai untuk membezakan Dr Mahathir kepada ramai diktator yang pernah digulingkan olehnya semasa menjadi Perdana Menteri.
“Beliau membawa bersamanya banyak beban. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau sudah menyingkirkan ramai pemimpin.
“Jadi membandingkan Perdana Menteri dengan Tun Dr Mahathir hanya menjadi negatif untuk Najib,” katanya menerusi catatan di blog https://sskeruak.blogspot.my/.
Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, media antarabangsa turut menuduh Dr Mahathir membazirkan RM100 bilion wang negara dengan anggaran lebih RM100 bilion mengalami ‘ketirisan’.
“Ia telah diterbitkan dalam bentuk buku dan merupakan satu lagi legasi beliau,” tambahnya.
Tegas beliau, pada tahun 1969, Dr Mahathir juga menuduh Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman menjadi ‘kekasih Cina’ dan kini membuat dakwaan yang sama terhadap Najib.
“Pada tahun 2013, Mahathir menuduh Najib mengabaikan orang Melayu dan memenuhi kehendak Cina sedangkan orang Melayu yang menyokong UMNO.
“Pastinya Najib tidak boleh dibandingkan dengan Mahathir,” ujarnya. – MalaysiaGazette