Husam Musa

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa diumum secara rasmi sebagai naib presiden Parti Amanah Negara (PAN).

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Agung PAN, Mohd Anuar Tahir hari ini selepas memenuhi usul yang diterima sebulat suara pada Konvensyen PAN tahun lalu.

Jawatan yang disandang oleh Husam itu berkuatkuasa hari ini.

“Husam yang masa ini menjadi penasihat Amanah (PAN) Kelantan dilantik mengisi jawatan naib presiden Amanah.

“Kami yakin dengan pengalaman beliau yang luas dalam bidang politik sebagai Ahli Parlimen, ahli Exco kerajaan negeri Kelantan dan anggota Dewan Undangan Negeri akan membantu perjalanan dan perkembangan Amanah (PAN),” katanya.

Mohd Anuar membuat pengumuman itu pada Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Auditorium Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur, Selangor (KLSCAH) di sini hari ini.

Husam dipecat keanggotaan dalam Pas pada April tahun lepas, susulan kelantangannya mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama Pas-UMNO.

Ekoran keputusan itu, Husam menyertai PAN pada 30 Ogos 2016 dan dilantik sebagai penasihat parti itu di Kelantan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast