Wan Ahmad Najmuddin Mohd. (menunggang motosikal) bersama Media Johor pada Kejohanan Menembak Polis Johor sempena Hari Polis ke-210 di Lapang Sasar Ladang Rem, di sini, hari ini.

KOTA TINGI – Laporan lengkap kes membabitkan 22 remaja ditahan polis dalam satu operasi banteras ‘basikal lajak’ dekat Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, di sini baru-baru ini sudah diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin pada Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, laporan tersebut juga sudah dibawa masuk ke dalam mesyuarat Exco pada Rabu supaya tindakan lanjut dapat diambil kerajaan negeri mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

Tambahnya, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R Vidyanathan juga sudah memaklumkan berhubung tindakan susulan laporan yang diserahkan kepada polis.

“Saya juga difahamkan, Menteri Besar juga sudah mengarahkan Datuk Bandar untuk membuat kajian secara terperinci melalui bidang kuasanya untuk mengatasi masalah tersebut,” katanya selepas Kejohanan Menembak Polis Johor bersama Media bersempena Hari Polis Ke-210 di Lapang Sasar Ladang Rem di sini hari ini.

Laporan berkenaan dibuat susulan penahanan 22 remaja pada 2 April lalu yang masih menjalankan aktiviti berlumba basikal di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, lokasi sama yang meragut lapan nyawa 18 Feb lalu.

Antara yang terkandung di dalam laporan berkenaan adalah supaya ibu bapa remaja yang ditahan berulang kali menunggang basikal diubah suai secara berbahaya di bandar raya ini dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kanak-kanak 2001.

Remaja yang ditahan tersebut merangkumi 20 remaja lelaki dan dua perempuan dengan 14 daripada mereka adalah penunggang basikal manakala baki merupakan penonton yang berusia 14 hingga 17 tahun.

Dalam kejadian 3 pagi, 18 Februari lalu, lapan remaja maut dan lapan lagi cedera dengan dua daripada mereka kritikal selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita. – MalaysiaGazette.